Nyoman Paul dedikasi lagu baharu buat sahabatnya yang sudah tiada

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penulis lagu terkenal, Nyoman Paul, melancarkan single terbaharunya bertajuk Alunan Mimpi, sebuah karya istimewa yang didedikasikan kepada mendiang sahabatnya. Lagu ini lahir daripada mimpi yang dialami Paul, yang kemudian diterjemahkannya ke dalam lirik dan melodi yang penuh emosi.

Menurut Paul, mimpi tersebut membawanya kembali kepada kenangan bersama sahabatnya, walaupun mesej yang disampaikan tidak jelas. “Saya bermimpi tentang sahabat saya yang telah pergi. Dalam mimpi, mesejnya tidak begitu nyata, tetapi saya cuba menterjemahkannya melalui lagu ini sebagai satu kenangan persahabatan kami,” ujarnya.

Single ini merupakan karya kelima dalam karier muziknya, susulan kejayaan lagu hit Tunggu Apa Lagi. Alunan Mimpi dihasilkan bersama S/EEK, Rahman Sadli Waraiya, dan Clara Riva, serta diterbitkan di bawah label Universal Music Indonesia. Lagu ini menampilkan nuansa pop rock yang penuh nostalgia, menghidupkan kembali elemen muzik era 2000-an.

“Lagu ini sangat sentimental bagi saya kerana ia berdasarkan kisah peribadi yang begitu dekat dengan hati. Saya berharap karya ini akan menjadi kenangan yang saya ingat selama-lamanya,” kata Paul.

Selain melodi yang menyentuh perasaan, video lirik lagu ini turut menarik perhatian. Paul melibatkan Ni Putu Helena Ayu Waringin, anak kepada mendiang sahabatnya, dalam pembikinan video tersebut. Rakaman video turut disumbangkan oleh Ni Nyoman Reni Ari Diantini, ibu kepada Helena dan balu mendiang sahabat Paul. Video lirik ini dihasilkan oleh You Know Who Film dengan David Christover sebagai pengarah fotografi.

“Saya mahu melibatkan mereka, Helena dan ibunya, kerana mereka adalah insan yang kuat. Saya berharap kekuatan mereka dapat menjadi inspirasi kepada semua,” tambah Paul.

Nyoman Paul – Alunan Mimpi (Official Lyric Video)

Paul berharap Alunan Mimpi bukan sahaja menjadi tanda ingatan buat dirinya dan keluarga sahabatnya, tetapi juga menyentuh hati para pendengar. “Semoga lagu ini menjadi runut bunyi yang mengingatkan kita kepada mereka yang pernah hadir dalam hidup tetapi telah pergi,” katanya.

Lagu Alunan Mimpi kini boleh didengar di semua platform muzik digital, manakala video liriknya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Nyoman Paul.