
KAJANG – Festival yang dinanti-nantikan, OMG Oktoberfest 2024, akan berlangsung pada 25 hingga 27 Oktober 2024 di Monkeys Canopy Resort. Festival selama tiga hari ini menjanjikan pelbagai acara menarik yang dijamin memuaskan hati setiap pengunjung. Bertemakan “All the fun in just one roof!”, ia menggabungkan keseronokan dan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
Isi kandungan

Menurut penganjur OMG Oktoberfest dan juga OMG Music Festival, Hafiidzul Zulkhefli yang lebih dikenali sebagai Pijoi, Monkeys Canopy merupakan lokasi baharu yang dipilih untuk festival tahun ini.
“Monkeys Canopy is a brand new place, satu tempat yang baru dan sangat cantik. Kita nak bawa crowd, fans, dan community kita untuk enjoy festival ini sambil menikmati keindahan Monkeys Canopy dengan pelbagai fasiliti menarik yang ada,” katanya ketika sidang media di Monkeys Canopy Resort, semalam.

Oktoberfest tanpa alkohol: Satu pendekatan baru
Nama Oktoberfest sering kali dikaitkan dengan acara yang melibatkan alkohol. Namun, Pijoi menegaskan bahawa OMG Oktoberfest 2024 tidak melibatkan mana-mana syarikat minuman keras atau alkohol.
“Ramai orang cakap Oktoberfest ini event yang involve dengan liquor atau alkohol. Namun, kami di OMG Music Festival mengambil pendekatan berbeza. Acara ini adalah halal dan tidak melibatkan alkohol. Kami memilih nama Oktoberfest kerana ia dijalankan pada bulan Oktober,” jelas Pijoi.
Beliau turut menambah bahawa jika Monkeys Canopy terus memberikan kerjasama, pihaknya mungkin akan menganjurkan festival lain pada bulan Disember, yang akan dinamakan Disemberfest.

Pengisian acara yang pelbagai
OMG Oktoberfest 2024 bakal menawarkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang tiga hari penganjurannya, sesuai untuk pengunjung pelbagai citarasa.
Hari Pertama (25 Oktober 2024) akan dimulakan dengan Craving Food Festival dan Chill on Hill Festival. Festival makanan ini menjanjikan pelbagai hidangan lazat dari pukul 10 pagi hingga 10 malam, dan kemasukan adalah percuma. Chill on Hill Festival pula menawarkan pelbagai aktiviti santai dan jualan menarik.

Hari Kedua (26 Oktober 2024) menjanjikan lebih banyak keseronokan dengan dua acara utama. Bagi peminat sukan dan kecergasan, Tour de Fun Run akan berlangsung dari pukul 5 petang hingga 7 malam. Pada malamnya, sebuah Rave Party yang bakal berlangsung dari pukul 8 malam hingga 2 pagi, akan menampilkan artis-artis terkenal seperti Chukiess & Whackboi, Nahsyk, Sherry Alyssa, dan Janiss Foong.
Hari Terakhir (27 Oktober 2024) akan ditutup dengan penuh gaya melalui Hip Hop Tea Dance Party yang akan berlangsung dari pukul 3 petang hingga 7 malam. Acara ini bakal menampilkan artis hip hop tempatan terkenal seperti Aman Ra, MK, Benzooloo, DJ Fuzz, K.O.I, 53 Universe, B-Heart, dan Danial Bogers.

Tiket dan maklumat lanjut
Untuk acara-acara khas seperti Rave Party dan Hip Hop Tea Dance Party, setiap pembelian tiket akan disertakan dengan minuman ringan percuma, goodies percuma, dan tempat letak kereta percuma. Harga tiket bermula serendah RM99 sahaja.
OMG Oktoberfest 2024 dianjurkan oleh OMG Music Festival dengan kerjasama Idea Music KL, dan disokong oleh rakan strategik MLB, penaja venue Monkeys Canopy Resort, serta pengurusan artis oleh Asia Empire.
Tiket untuk acara-acara tersebut boleh dibeli melalui laman web rasmi festival di www.omgmusicfestival.com. Orang ramai dijemput untuk mengambil bahagian dalam festival ini yang menjanjikan pengalaman penuh keseronokan dan hiburan tanpa henti.

Festival yang memberikan suatu pengalaman
Dengan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk semua peringkat umur dan minat, OMG Oktoberfest 2024 di Monkeys Canopy Resort pastinya akan menjadi acara yang tidak boleh dilepaskan. Sama ada untuk menikmati makanan yang lazat, menyertai acara kecergasan, atau menari mengikut rentak muzik, festival ini menawarkan pengalaman unik yang dijamin memberi kenangan manis kepada setiap pengunjung.