KUALA LUMPUR – Syarikat penganjur konsert terkemuka, Orange International, telah mengumumkan penganjuran konsert yang bakal menjadi satu lagi tanda aras dalam industri muzik tempatan. Dalam satu sidang akhbar eksklusif yang berlangsung di Sky Lounge, Hotel Tamu, semalam, konsert yang dinamakan ‘A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hatiku’ bakal diadakan pada 30 November 2024, di Zepp, Kuala Lumpur, jam 8 malam.

Konsert ini menampilkan gabungan penyanyi wanita popular Malaysia yang berasal dari Sabah, atau lebih dikenali sebagai ‘Negeri di Bawah Bayu’. Barisan artis yang terlibat termasuk Bella Astillah, Marsha Milan, Adira Suhaimi, Stacy Anam, Nikky Palikat, Wani Kayrie dan Didi Astillah, menjanjikan satu persembahan yang luar biasa dan memikat hati peminat muzik tempatan.
Menurut Dato’ Mohd Fadzli Idrus, Ketua Pegawai Eksekutif Orange International, “Ini merupakan kali pertama kami menghimpunkan semua penyanyi kelahiran Sabah yang terkenal di persada seni tanah air dalam satu pentas. Konsert ini dijangka menjadi satu malam yang istimewa buat penggemar muzik tempatan.”

Satu Konsert Istimewa dengan Artis ‘Sumandak’ Terkenal
Dato’ Fadzli turut menyatakan, “Kami amat berbangga dapat membawa tujuh artis sumandak yang masing-masing mempunyai pencapaian yang membanggakan dalam industri muzik. Konsert ini bukan sahaja memberikan platform kepada mereka, tetapi juga merupakan satu penghormatan untuk muzik Sabah dan pencinta seni tanah air.”
Antara kejayaan terdahulu Orange International termasuk konsert-konsert sold-out seperti Radja & Ella, Wali Band X Setia, dan Drama Band, yang tiketnya habis terjual kira-kira dua minggu yang lalu. Dato’ Fadzli menekankan bahawa pihak mereka sentiasa mencari kelainan dalam setiap penganjuran konsert, dan kali ini gabungan artis kelahiran Sabah dijangka memukau para penonton.


“Kami memilih artis-artis ini berdasarkan kejayaan dan pengiktirafan mereka di pelbagai anugerah. Sebagai contoh, Bella Astillah baru-baru ini dinobatkan sebagai ‘Celebrity Of The Year’ di TikTok Awards Malaysia 2024. Manakala Marsha, Adira, Stacy, dan Nikky semuanya adalah pemenang di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dan juga Anugerah Juara Lagu (AJL),” tambahnya.
Platform untuk Bakat Pelapis Baharu
Selain daripada bintang-bintang utama, konsert ini juga memberi peluang kepada pelapis baharu seperti Wani Kayrie dan Didi Astillah untuk menunjukkan bakat mereka. Dato’ Fadzli percaya bahawa kedua-dua penyanyi muda ini mampu memberikan persembahan yang setanding dengan artis-artis lebih senior.

“Konsert ini adalah peluang terbaik untuk mereka bersinar di pentas besar dan meraih perhatian peminat muzik tempatan. Kami mahu memberikan ruang kepada mereka untuk menonjolkan bakat yang ada,” kata beliau lagi.
Kejutan Istimewa dan Tiket Konsert
Menambah lagi keterujaan, pihak Orange International mendedahkan bahawa akan ada beberapa kejutan menarik yang menanti para penonton pada malam konsert tersebut. “Kami mengalu-alukan kehadiran semua peminat muzik tanpa mengira umur dan bangsa. Ini adalah usaha kami untuk memastikan bahawa muzik berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” ujar Dato’ Fadzli mengakhiri ucapannya.

Bagi yang berminat untuk menyaksikan konsert ‘A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hatiku’, tiket kini boleh didapati melalui laman web ticket2u.com.my/sumandak atau menghubungi talian hotline +6012-4949 267. Harga tiket adalah seperti berikut:
- VIP [Special Seating] – RM349
- Cat 1 [Normal Seating] – RM239
- Cat 2 [Free Standing] – RM139
- Cat 3 [Normal Seating] – RM259
- Cat 4 [Normal Seating] – RM159
- VIP Box – RM6999
Konsert ini dijangka mendapat sambutan hangat berdasarkan keunikan barisan artis yang terlibat serta kepakaran Orange International dalam menganjurkan konsert berprofil tinggi. Bagi para peminat muzik, ini pastinya merupakan satu acara yang tidak boleh dilepaskan.