KUALA LUMPUR, 15 Mei 2025 – Penyanyi dan penulis lagu tersohor dari Indonesia, Nadin Amizah, bakal mengulangi magisnya di pentas Zepp Kuala Lumpur menerusi persembahan eksklusif “Malam Mendengar” yang akan berlangsung pada 16 Mei 2025, hasil penganjuran Renjana Idea.
Menandakan kemunculan keduanya di lokasi ikonik ini selepas konsert “Selamat Ulang Tahun” tahun lalu, Nadin meluahkan rasa teruja serta sedikit gementar untuk kembali menjalin hubungan emosi bersama peminat Malaysia.
“Saya sangat gementar. Setiap kali kembali ke Malaysia, rasanya seperti membawa sesuatu yang besar,” ujar Nadin.

Persembahan “Malam Mendengar” kali ini tampil dengan kelainan istimewa apabila buat julung kalinya, Nadin akan diiringi oleh orkestra penuh terdiri daripada 40 pemuzik dari Jakarta. Ini merupakan pengalaman sulung beliau membawakan karya secara penuh orkestra di Malaysia.
“Saya amat bersyukur kepada pihak penganjur kerana merealisasikan impian besar ini. Walaupun saya pernah tampil dengan orkestra di Jakarta, ini kali pertama di Malaysia,” jelasnya.
Lebih daripada 10 buah lagu akan dipersembahkan, dengan susunan istimewa oleh Lasta Pratom selaku pengarah muzik, yang turut menyumbang kepada penciptaan versi gubahan terbaik sepanjang karier Nadin.
“Setiap susunan menggambarkan sisi lembut, indah dan menenangkan yang saya ingin kongsi dengan peminat,” tambah beliau.
Walaupun format asal persembahan di Jakarta membolehkan penonton menikmati muzik sambil berbaring, Nadin percaya emosi dan pengalaman serupa dapat dirasai melalui alunan orkestra yang menyentuh jiwa.

Persembahan ini turut menandakan penampilan pertama Nadin dengan imej baharu berambut perang, serta menyajikan lagu-lagu dari album “Untuk Dunia Cinta” dan “Kotornya”, yang menurut beliau lebih matang dan berani.
“Dulu saya rasa belum bersedia untuk mempersembahkan lagu-lagu ini, tetapi kini saya percaya penonton Malaysia sudah bersedia,” katanya.
Nadin turut menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Renjana Idea atas kerjasama menjayakan pementasan istimewa ini.
“Tanpa Renjana Idea, persembahan ini tidak akan jadi kenyataan. Terima kasih dari lubuk hati saya,” katanya.
Tiket bagi showcase “Malam Mendengar” boleh didapati di laman sesawang rasmi www.golive-asia.com.