December 6, 2024

PETALING JAYA : Penyatuan dua jenis instrumental yang tetap membawa nuansa bahagia dalam setiap karya atau lagu menjadi ‘senjata’ buat pemuzik legenda tanah air, Man Kidal untuk bergabung dengan gadis manis yang jemarinya ligat mengesek biola, Rania Imtiaz.

Bukan sebuah paduan biasa-biasa, bayangkan bagaimana kelak bunyi petikan gitar Man Kidal bergabung dengan gesekan biola Rania yang cukup mengasyikkan. 

Sementelah Rania baru berusia 14 tahun akan ‘bersanding’ bakat dengan salah seorang pemain gitar terbaik yang dilahirkan di Malaysia yang kini mencecah usia 58 tahun. 

Menurut Man Kidal kolaborasi yang dilakukan bersama Rania bersifat unik kerana paduan bunyi instrumen berbeza iaitu petikan gitar rock dan gesekan biola Melayu Tradisional yang dimainkan oleh mereka akan menghasilkan sesuatu yang jarang diketengahkan di negara kita.

Man Kidal

“Saya melihat bakat besar yang dimiliki Rania harus diketengahkan. Untuk seorang gadis berusia 14 tahun dan menekuni kecintaannya bermain biola dan mengangkat martabat lagu Melayu Tradisional yang sudah semakin berkurangan dalam generasi masa kini, industri seni kita harus menyambut dan meraikannya dengan baik,” ujar Man Kidal.

Apa lagi gadis manis ini juga bukan sembarangan gadis. Dia merupakan penerima anugerah dari Kementerian Perpaduan Negara sebagai ikon Merakyatkan Perpaduan Keluarga Malaysia. Lantas bakat yang sudah pun diiktiraf tidak menimbulkan keraguan bagaimana gabungan epik ini akan terlahir kelak.

Bagi Rania pula, menjalin kerjasama dengan Man Kidal umpama sebuah impian yang luar biasa. Apa lagi sebagai salah seorang pencinta yang sangat menghargai hasil seni muzik, dapat memperkembangkan bakat lebih komersial adalah sebuah kesempatan keemasan yang tidak wajib disia-siakan. 

Bukan pertama kali terlibat dengan penyanyi tempatan termasuk Hazama, namun ‘pernikahan’ petikan gitar rock Man Kidal dan gesekan tradisional biola Rania disifatkan sebagai ikatan harmoni dalam seni muzik. 

Rania Imtiaz

“Saya pernah bertemu Uncle Man Kidal dalam sebuah acara dan dari situ kami berbincang tentang muzik. 

“Kami berbincang untuk mengharmonikan bunyi gitar rock dengan lagu tradisional Melayu kerana berpandangan lagu tradisional Melayu jika dimasukkan elemen rock boleh memberikan kelainan dan menarik minat lebih ramai orang tanpa merosakkan nilai-nilai kemelayuan yang ada dalam lagu tersebut,” ujar Rania. 

Selain itu, Rania turut mengatakan gabungan muzik yang diadunkan ini juga untuk membuka mata generasi sebayanya dan generasi sedia ada terhadap keindahan lagu-lagu Melayu Tradisional. 

Rania yang akan menduduki Peperiksaan biola Gred 8 mula serius menekuni seni mengesek biola sejak usia 6 tahun selepas tertarik dengan keindahan bunyi yang tenang sewaktu mengikut ibu bapanya ke sebuah majlis. 

“Saya selalu pandang seorang pemain biola sangat berdisiplin kerana apabila biola berada di bahu ia seperti memegang tanggungjawab atau amanah untuk menjadikan bunyi gesekan itu sedap didengar,” katanya lagi. 

Sangat mengagumi dan menghormati Man Kidal yang digelar Mahaguru, Rania berharap gabungan mereka menjadi lambang bahawa muzik menyatukan dua genre muzik berbeza dari dua jarak umur berbeza dengan jarak pengalaman yang jauh berbeza dan dua instrumen muzik yang berbeza. 

Ayai Ilusi turut menyampaikan lagu diiringi gesekan biola Rania di majlis pelancaran single Sentuhan Kidal dan Joget Johor Sports Club
Rania Imtiaz X Man Keedal – Sentuhan Kidal