Paku Tanah Jawa: Angkat kisah mistik legenda Gunung Tidar

Oleh: Zizi Hashim

Hasil kolaborasi yang menarik di antara Armani Entertainment (Malaysia) dan Loop Entertainment (Indonesia) air tangan sutradara Bambang Drias, filem seram yang cuba mengangkat mistik urban legenda yang berpusat di Pulau Jawa, khususnya di Gunung Tidar. Berada di durasi 100 minit, “Paku Tanah Jawa” menampilkan sejumlah bintang seperti Masayu Anastasia sebagai Handini, Gisellma Firmansyah sebagai Ningrum, Landung Simatupang sebagai Kanjeng Semanu, Wafda Saifan Lubis sebagai Jalu dan banyak lagi termasuklah penampilan istimewa MK K-Clique dan Hasif Upin.

Jalan ceritanya fokus kepada tema perjanjian dengan syaitan dengan harapan menjadi kaya, dimana Handini, seorang primadona desa yang mencari jalan mudah untuk hidup mewah dengan perjanjian ghaib bagi melancarkan perusahaan studio seni miliknya. Anak Handini, Ningrum merasa hidupnya semakin sulit apabila cinta rahsianya, Jalu terjebak sebagai korban baru ibunya sendiri. Satu demi satu kejadian seram dan aneh menyerang Ningrum dan dalam kegelisahan dia telah meminta bantuan seorang Kiyai. Sang Kiyai memberikan sebuah tombak sakti bernama Paku Tanah Jawa kepada Ningrum.

Tontonlah filem ini untuk mengetahui apakah fungsi benda pusaka tersebut. Saya sudah tentu tidak mahu spoiler, bagaimanapun sinopsis yang memikat itu rupanya luntur serta-merta saat filem mulai berputar. Dari awal hingga akhir, plot berjalan lancar namun harus menunggu sehingga ke hujung cerita untuk memahami keseluruhan filem. Agak merosakkan impresi saya pada filem ini, sangat disayangkan. Filem yang seharusnya jadi kebanggaan kepada kolaborasi 2 negara menurut saya tidak memenuhi harapan itu. Terlalu bersepah.

Keterujaan hanya muncul saat akhir. Dari awal ceritanya terasa berputar-putar tanpa hala tuju yang jelas. Sejujurnya, saya sangat bosan dan hampir hilang minat apabila perkembangan cerita itu berjalan tidak tentu arah. Apatah lagi penampakan hantu dalam filem ini langsung tidak menakutkan saya. Efek visual yang digunakan untuk menampilkan hantu ketara kurang mengesankan dan tidak mampu memberi jumpscare yang diharapkan dalam setiap filem seram. Satu-satunya hal yang saya nikmati ketika menonton adalah sinematografi yang cantik. Proses penggambaran telah berlangsung selama 14 hari di kawasan hutan terletak di Kota Jogjakarta. Namun masih tidak cukup untuk menyelamatkan keseluruhan filem.

Meskipun melibatkan nama-nama besar seperti Masayu Anastasia, penampilan seluruh barisan pelakon lain terasa tidak cukup kuat. Kalau menurut saya, lakonan yang lain hanya masuk kategori ‘biasa saja’. Memiliki potensi untuk menjadi sebuah karya yang membanggakan atas kolaborasi namun sayang hasilnya tidak se-gah yang saya imaginasikan. Dengan alur cerita yang biasa, penampilan hantu yang tak mampu membuat bulu roma berdiri, lakonan acuh tak acuh, filem ini tidak dapat memberikan pengalaman menonton yang memuaskan. Watak MK K-Clique hanya diberi beberapa dialog boleh dikira dengan jari, dan mati terlalu awal.

Filem ini berhasil mengutip sehingga RM7 juta Box Office di Indonesia, berdasarkan penampilan Masayu Anastasia yang sudah lama tidak muncul berlakon dan cukup dirindukan peminat setianya. Detik debar menunggu hantu muncul juga menjadi euforia yang ditawarkan dalam “Paku Tanah Jawa” ini. Walaupun menyajikan jumpscare yang boleh tahan terkejut, penampakan syaitan dalam filem ini tidak begitu menyeramkan. Masih aman dan berani untuk dilihat tanpa menutup mata dengan tangan.

Sayangnya juga, tidak begitu fokus pada perjanjian ghaib yang dilakukan oleh Handini. Latar belakang serta tujuan Handini melakukannya tidak dijelaskan, apakah untuk kekayaan, kecantikan atau populariti? Bagi yang menyukai cerita berkaitan tradisi atau urban legenda, “Paku Tanah Jawa” tampak nya harus masuk senarai ‘wajib tonton’ apatah lagi di saat akhir filem ada sebuah plot twist.

Dato’ KK Chua selaku penerbit eksekutif berasa cukup optimis filem “Paku Tanah Jawa” akan mendapat sambutan baik di Malaysia. Akan mulai menemui penonton bermula 27 Jun 2024 di pawagam seluruh Malaysia, jangan ketinggalan!