January 15, 2025

KUALA LUMPUR – Sebagai usaha untuk meningkatkan kapasiti inovasi teknologi Malaysia melalui hiburan, FrameMotion Studio Sdn. Bhd. (FrameMotion Studio), sebuah studio digital dan pengalaman imersif tempatan, telah mencatatkan rekod dalam ‘Malaysian Book of Record’ dengan membangunkan ‘PAMERAN SENI DIGITAL MULTISENSORI AI YANG PERTAMA’ melalui kejayaan pameran ‘The Greatest Artist’. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Datuk Arthur Joseph Kurup yang menyaksikan keupayaan Malaysia dalam pameran tersebut, menyatakan minat beliau untuk meneruskan langkah-langkah yang dapat menonjolkan tradisi, budaya dan seni Malaysia melalui teknologi moden pada skala global.

Penerapan kecerdasan buatan (AI) telah mendapat momentum dalam banyak perkhidmatan hiburan di Malaysia di atas kemajuan teknologi di seluruh dunia. FrameMotion Studio meneruskan perjalanannya dalam menerajui Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi dan berinovasi dengan penganjuran bersama pameran Van Gogh Alive bertempat di Pavilion Bukit Jalil dari Disember 2022 hingga Mac 2023. Demi menunjukkan kemampuan Malaysia dalam kemajuan AI, FrameMotion Studio mengambil peranan untuk membangunkan dan menerbitkan ‘The Greatest Artist’, sebuah pameran interaktif  yang pertama seumpamanya dan dijana AI sepenuhnya.

FrameMotion Studio dengan bangganya menjadikan Malaysia sebagai negara pertama yang menampilkan pameran berteknologi AI untuk memperhebatkan pameran Van Gogh Alive yang terkenal di seluruh dunia. Ini juga mencerminkan komitmen FrameMotion Studio dalam mendidik pengunjung tentang Vincent Van Gogh, dengan membawa mereka ke pengalaman pendidikan yang mendalam yang menyusuri kehidupannya pada abad ke-19. Dengan berbuat demikian, FrameMotion Studio berharap untuk menginspirasi seniman tempatan dan meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia tentang pentingnya memupuk dan menyokong industri kreatif negara kita.

Ketua Pegawai Eksekutif FrameMotion Studio, En. Jeand Pua berkata, “Kami menerbitkan ‘The Greatest Artist’ untuk menetapkan penanda aras kepada pencapaian menggunakan kecerdasan buatan untuk menyampaikan mesej murni sambil mempamerkan seni. Mengambil inspirasi daripada Vincent Van Gogh, kami menggalas cabaran tersebut dengan membangunkan pameran berteknologi AI demi menggalakkan pemain industri tempatan untuk menjangkau jangkaan dan memberi impak yang positif kepada masyarakat.”

Selama satu setengah bulan, 12 orang individu membangunkan ‘The Greatest Artist’ dari peringkat idea hingga ke peringkat perlaksanaan pameran tersebut; memberi pengalaman yang mendalam kepada para pengunjung mengenai sejarah hidup seniman tersebut dan merasai sendiri sejarah seni Van Gogh melalui pelbagai aktiviti interaktif seperti:

1. INFINITY STARRY WALKWAY: Sebuah laluan yang dicipta dengan pemasangan jalur LED dikelilingi dengan cermin memberi refleksi para pengunjung.

2. THE LIGHT OF HOPE: Bunga-bunga matahari yang bertindak balas dengan kehadiran para pengunjung, diinspirasi oleh karya agung Van Gogh.

3. AI SELF-POTRAIT: Potret para pengunjung yang dijana dengan gaya Post-Impressionist Vincent Van Gogh. Buat pertama kalinya di Asia, para pengunjung dapat menghasilkan potret mereka melalui potret janaan AI , menjadikan mereka yang pertama di Asia membawa pulang potret Post-Impressionist mereka.

4. SHOWER OF JOY: Para pengunjung dapat merasai makna pameran ini dengan kelopak-kelopak bunga yang gugur menyentuh jiwa mereka. Pameran ini hasil inspirasi lukisan Nihonga karya Reiji Hiramatsu.

Kedua-dua pameran ini menjadi tarikan yang paling diminati di Malaysia sejak pembukaanya dengan 150,000 tiket terjual sepanjang ia berlangsung. 100,000 tiket terjual di dalam masa lima hari pertama sejak pelancarannya pada awal Disember lalu.

Semasa kunjungan ekslusif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Timbalan Menteri MOSTI, YB Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, “Kami sentiasa mencari langkah-langkah baharu untuk memanfaatkan teknologi baru demi meningkatkan pengalaman orang ramai dan memajukan kecekapan sesuatu kaedah. Saya percaya dengan menggunakan teknologi kita dapat meningkatkan pengalaman dan menjadikannya lebih menarik bukan sahaja dari segi visual, malah lebih interaktif untuk para pengunjung. Jadi, saya berasa amat gembira melihat rakyat Malaysia mengambil inisiatif untuk mengadaptasi teknologi baru, AI dan elemen multisensori supaya kita dapat menonjolkan industri kreatif tempatan. Saya berharap kita dapat membawa teknologi ini ke hadapan untuk mempromosi hasil seni dan kandungan tempatan supaya dunia mengetahui kita bukan sahaja kaya dengan seni dan budaya malah kita juga mampu menggunakan teknologi moden untuk mempromosi seni dan budaya tradisional kita.”

“Terdapat bakat-bakat di kalangan rakyat Malaysia untuk mengadaptasi teknologi moden dan apa yang dilaksanakan FrameMotion adalah contoh yang terbaik. Kita harus mencari langkah-langkah untuk membolehkan syarikat-syarikat tempatan untuk menyinar dan berjaya. Kami sebagai sebuah badan kerajaan, menyasarkan untuk memberi kemudahan dan platform kepada rakyat Malaysia untuk menonjolkan bakat mereka bukan sahaja dalam bidang seni dan budaya, malah dalam bidang teknologi. Saya ingin melihat lebih ramai bakat-bakat muda melibatkan diri dalam bidang teknologi dan seni tempatan, demi melihat sejauh mana kita dapat memodenkan seni dan budaya tradisional menggunakan teknologi yang kita ada,” tambah beliau.

Pengenalan pameran seni digital multisensori AI yang pertama adalah bertujuan untuk menjana industri hiburan di Malaysia dengan menyediakan pengalaman pameran imersif tidak berbanding, menafikan stigma kunjungan muzium tradisional. Teknologi maju ini melambangkan komitmen FrameMotion menjelajahi sempadan kreativiti dan kecerdasan mesin melalui kepelbagaian teknologi-teknologi canggih dalam penggunaan teknologi seni janaan AI terhadap karya-karya seni di pameran tersebut.

Dengan kejayaan ‘The Greatest Artist’ melalui ulasan atas talian dan jualan tiket, FrameMotion Studio teruja untuk membangunkan lebih banyak pengalaman inovasi tempatan di masa hadapan. Sebagai tambahan, studio tempatan itu juga sedang dalam perbincangan dengan rakan-rakan kongsi luar negara untuk membawa ‘The Greatest Artist’ ke serata dunia; menampilkan bakat-bakat tempatan dan membawa kapasiti teknologi Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.framemotionstudio.com/we-fm/