April 22, 2024

Bakal menampilkan hampir 40 kerja seni Nadirah yang paling jujur pernah dihasilkannya, pameran tersebut bakal berlangsung di temu house art space di Petaling Jaya, serta mula dibuka kepada umum pada 6 Mei 2023 (Sabtu) sehingga 28 Mei 2023 (Ahad)

KUALA LUMPUR – ‘Feeling Feelings Makes Me, Me’ atau secara kasar boleh diterjemahkan sebagai ‘Merasai Perasaan Menjadikan Aku, Aku’, sebuah pameran seni oleh Nadirah Zakariya bakal membuka tabirnya pada hujung minggu ini, bermula 6 Mei 2023 (Sabtu) sehingga 28 Mei 2023 (Ahad) bertempat di temu house art space, Petaling Jaya.

Bakal menampilkan hampir 40 kerja seninya seperti fotografi, kotak lampu atau lightbox, dan tayangan video, ‘Feeling Feelings Makes Me, Me’ (FFMMM) yang merupakan pameran Nadirah yang ketiga pernah dianjurkan, juga turut melakar sejarah sebagai pameran solo Nadirah yang terbesar setakat ini. Pamerannya yang pertama berjudul ‘Daughters Ago’ telah diadakan pada tahun 2011 di bandaraya New York, kota terbesar di Amerika Syarikat di mana dia juga menerima ijazah Sarjana Muda dalam bidang Seni Halus daripada universiti berprestij, Fashion Institute of Technology NYC. Nadirah kemudiannya pulang ke tanahair dan pada tahun 2016, dia mempersembahkan pamerannya yang kedua dengan tajuk, ‘Girlhood’, di Kuala Lumpur. Pameran tersebut menerima sambutan hangat daripada peminat seni Malaysia dan antarabangsa justeru mengukir namanya sebagai salah seorang artis visual paling berpengaruh di Malaysia.

Nadirah

Dilahirkan pada tahun 1984 dan dibesarkan di pelbagai negara seperti Malaysia, Jepun dan Amerika Syarikat, inspirasi kerja seni Nadirah banyak dipengaruhi oleh faktor zaman mudanya yang jarang tinggal lama di satu tempat. Tahun ini genap tujuh tahun sejak penganjuran pamerannya yang terakhir, dan sejak itu juga Nadirah bukan saja terus membina portfolio di bidang seni fotografi malah cabang bidang seni yang lain terutamanya produksi video dan filem. Ketika ditanya tentang signifikasi pameran FFMMM kepadanya, Nadirah menjawab, “Seni fotografi memberikan saya peluang untuk memproses perasaan saya. Pada saya, ia medium yang paling utama. Ia membenarkan saya untuk merasakan apa sahaja yang perlu saya rasakan, dan jika dilihat kepada hasil kerja saya, walaupun bersifat intiutif dan organik, ianya merupakan refleksi kepada proses yang saya lalui untuk menjiwai setiap perasaan itu”.

Dia menambah, majoriti hasil kerjanya adalah jalinan satu perjalanan mencari diri dan menghargai segala yang dikurniakan seadanya, termasuk kekurangan yang ada. Contoh yang paling jelas adalah peperangan harian yang dia perlu lalui untuk menerima ketentuan kondisi Vitiligo yang menyebabkan kehilangan pigmentasi warna kepada kulit justeru menjadikan mereka yang terkesan dengan keadaan ini mengalami masalah sopak. Nadirah secara berani memilih untuk menjadikan Vitiligo sebagai salah satu subjek fotografinya dan secara tidak langsung telah menolong ramai pengidap Vitiligo untuk melihat kecantikan dibalik kekurangan.

Karya yang dihasilkan Nadirah

Pameran ini amat penting buat Nadirah kerana ia menerokai beberapa fasa di dalam perjalanan penerimaan diri sendiri yang kadang kala begitu sukar untuk dilakukan jika tidak disokong dengan proses seni yang sudahpun sebati dalam jiwanya. Jelas Nadirah, “Ianya bagaikan bernafas. Saya perlu lakukan semua ini kerana ia begitu penting untuk saya hidup sebagai diri saya dan bukan orang lain. Masa adalah musuh saya yang paling utama, namun saya perlu lakukan apa sahaja yang saya perlu lakukan untuk memberikan penghormatan yang sebaiknya kepada setiap peluang yang datang. Mungkin ini juga mengapa jarak bagi setiap pameran saya agak panjang, kerana persediaan itu mengambil masa yang sangat lama”.

Karya yang dihasilkan Nadirah

Bagi penganjuran FFMMM, Nadirah telah mengumpulkan pasukan yang dianggapnya terbaik bukan saja untuk memastikan agar astetik pameran memenuhi setiap aspek yang dirancangkan, malah mengambil berat aspek bisnes dalam seni yang seringkali dipandang mudah oleh para artis terutamanya grafik, seni halus dan visual seperti fotografi. Sharmin Parameswaran dari temu house art space diangkat sebagai penganjur bersama, dan Liza Ho dari The Back Room pula dilantik untuk menguruskan segala hal berkaitan penjualan hasil seni, di Malaysia dan luar negara. Rekaan pameran diserahkan kepada agensi R+. “Fokus kami pada ketika ini adalah untuk mempersembahkan satu pameran kerja-kerja seni saya dengan hebat, dan ia mampu memberikan inspirasi kepada setiap pengunjung terutamanya peminat seni negara” kata Nadirah. “Saya juga mempunyai impian untuk membawa pameran ini ke luar Kuala Lumpur namun pada ketika ini biarlah kami menjuruskan segala perhatian dan titik peluh kami kepada penganjuran FFMMM di Kuala Lumpur, iaitu di antara ibukota utama yang menjadikan saya, saya. Apa terjadi selepas ini, kita tunggu dan lihat”, ujarnya sambil tersenyum.

Pameran solo ‘Feeling Feelings Makes Me, Me’ oleh Nadirah Zakariya akan dibuka secara rasmi kepada umum pada 6 Mei 2023 sehingga 28 Mei 2023, di temu house art space, Petaling Jaya. Selain pameran utama, acara-acara sokongan juga akan dianjurkan dan pengunjung digalakkan untuk sentiasa memeriksa informasi terkini di laman media sosial yang relevan.