September 10, 2024

KUALA LUMPUR : Penyanyi, pelakon, penulis lagu dan juga penerbit muzik dari Jakarta, Indonesia, Rizki Rahmahadian Pamungkas, 29 atau lebih dikenali dengan nama panggungnya, Pamungkas, meneruskan hasratnya mengadakan showcase di empat negara Asia tenggara  dalam siri jelajah ‘BIRDY-The Southeast Asia Tour’ yang telah tertangguh selama dua tahun akibat pandemik. 

“Selepas dua tahun, kami terselamat daripada wabak global dan dalam tempoh itu juga kami terpaksa menangguhkan perjalanan ini. Saat ini saya sudah bersedia untuk memulakan semula dan meneruskan rancangan jelajah Asia Tenggara yang tertangguh”, kata Pamungkas.

Sejak tiba di Kuala Lumpur, jadual yang telah disusun cukup padat buat dirinya bagi memenuhi undangan wawancara bersama media tempatan, Meet & Greet bersama peminat dan Mini Showcase yang berlangsung di The Bee, malam tadi sebelum konsert sebenarnya pada malam ini (3 September 2022), bertempat di Megastar Arena. 

Waima terikat dengan jadual yang cukup padat, dia tidak pernah merungut kerana objektif utama jelajah ini adalah untuk memperkenalkan nama Pamungkas ke Asia Tenggara dan memberi peluang kepada legiun peminat bertemu dengannya secara peribadi. Dia juga berharap peminat dapat menyaksikan bakatnya dalam persembahan secara langsung serta menikmati lagu-lagu yang disampaikan dengan susunan muzik yang dihasilkan secara profesional.

Rancangan itu mula tercetus apabila salah satu lagu Pamungkas berjudul To The Bone telah tular di rantau Asia. Lagu itu mendapat sambutan positif yang besar daripada empat buah negara di seluruh rantau ini dan disebabkan lagu tersebut, peminat muzik juga mula mendengar lagu-lagu lain yang dikeluarkannya sebelum ini. 

“Kami memberikan nama jelajah ini sama dengan judul album keempat, ‘BIRDY-The Southeast Asia Tour’. Berdasarkan data kami, empat negara di Asia Tenggara yang kami sebutkan dan akan dilawati adalah Filipina, Thailand, Malaysia dan Singapura.

“Saya memilih untuk menamakan album itu sebagai ‘BIRDY’ untuk mewakili ungkapan hati yang simbolik dan metafora membebaskan sifat keanak-anakkan dalam diri seseorang.” Ujar Pamungkas.

Pamungkas ‘BIRDY- The Southeast Asia Tour, Live in KL’ dibawa khas dari Jakarta ke Malaysia oleh pihak penganjur Tala Records Asia, SoundScape dan Maspam. Kuala Lumpur adalah destinasi persinggahan ketiga selepas Thailand dan Filipina.

Pamungkas ‘BIRDY- The Southeast Asia Tour, Live in KL’ adalah destinasi ketiga selepas Thailand dan Filipina

“Antara lagu yang diberi tumpuan adalah Begin Again kerana mesejnya yang cukup kuat. Ia adalah lagu tentang penerimaan dalam cara anda mentakrifkan semula diri anda, mencipta semula kehidupan anda dan memiliki semula ruang anda. Kita kini melalui pelbagai cabaran dan situasi yang tidak dijangka yang mungkin mengganggu diri kita secara negatif, secara fizikal dan mental. ‘Begin Again’ adalah nota ikhlas daripada saya kepada dunia bahawa kita perlu menjaga diri sendiri untuk terus hidup kerana ia akan menjadi lebih baik.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua peminat saya terutamanya di Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina dan sudah tentu, Indonesia. Saya sangat bersyukur akhirnya dapat membuat persembahan di Kuala Lumpur buat kali pertama dan saya tidak sabar-sabar untuk bertemu dan mempersembahkan persembahan saya kepada semua orang”, ujar penyanyi yang pernah memegang rekod lagu #1 carta Top 50 Indonesia selama lebih daripada 10 minggu berturut-turut.

Terdahulu, Pamungkas yang telah memenangi anugerah Spotify Artis Indonesia paling banyak distrim sebanyak dua kali pada tahun 2020 dan 2021, telah memulai kariernya secara profesional dengan merilis album pertama pada tahun 2018 lagi dengan judul Walk the Talk dan dia Berjaya mengukir lorongnya sendiri.

Dia juga berani menggabungkan banyak elemen muzik di dalam lagunya serta berupaya menulis lagu yang unik. Setelah mengeluarkan empat album termasuk ‘BIRDY’ yang dikeluarkan pada 16 Jun lalu, ternyata album keempat ini sebagai perjalanan baharu Pamungkas yang menandakan lebih matang, lebih bijak tetapi pada masa yang sama menonjolkan sikap seharian yang bereksperimentasi dan dipenuhi dengan rasa ingin tahu.

Pamungkas membentuk gaya muziknya sendiri dengan menggabungkan intipati Folk, kaya dengan bunyi elektronik serta tarikan Pop. Memiliki suara yang terang, bertenaga dan mendamaikan telah melengkapkan keseluruhannya serta mencipta dimensi bunyi baharu yang lebih segar.

Pamungkas – Begin Again (Official Lyrics Video)