July 19, 2024
raya tak nampak

KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerbitkan telefilem khas istimewa dalam meraikan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba. Diberi tajuk “Raya Tak Nampak”, telefilem ini diarahkan bersama oleh Nor Ashikin Zainal, Wan Afzam Wan Daud dan Fatin Athiera Dzul Hanafiah, Unit Drama TV RTM.

Menampilkan gandingan pelakon Wani Kayrie, Danial Zaini, Mamak Puteh, Imran Aqil, Zila Bakarin, Mandy Chong, Munir Zainal dan Sasikumar Kandasamy, penggambaran telefilem ini telah dijalankan pada 17 hingga 28 Februari lalu di sekitar Batu Pahat, Johor.

Drama dipilih mengisi slot Panggung RTM menemui penonton pada 13 April ini, pukul 9.00 malam di TV1 juga secara percuma melalui penstriman RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my).

Sinopsis 

Tiga hari sebelum Syawal, kutipan jualan bazar Ramadan tiga bujang, Oyen, Sapok dan Elly semakin tidak memberangsangkan. Tahun ini Hari Raya mereka seperti ‘tak nampak’ sahaja.

‘Raya’ pelajar tahun akhir jurusan Ijazah Seni Persembahan (drama) yang terdesak mendapatkan markah cemerlang dalam subjek “Improvisation Acting’ sanggup menyamar sebagai gadis buta di sebuah Bazar Ramadan. 

Sementara itu Oyen, Sapok dan Elly yang baru selesai meniaga di bazar berjaya menyelamatkan Raya dari diragut. Setelah mengetahui ‘Raya Tak Nampak’ (buta) dengan kisah sedih tiada duit nak balik raya, tiga bujang yang mudah simpati dengan gadis cantik, menawarkan Raya pulang ke kampung bersama-sama. Kebetulan pula kampung mereka berdekatan.

Di dalam perjalanan, masing-masing cuba memikat Raya tetapi pelbagai ragam dan masalah pula mereka terpaksa tempuhi sepanjang perjalanan ke kampung. Mereka semakin cemas apabila dikejar oleh seorang lelaki Cina yang memandu jip.

Mereka akhirnya selamat sampai ke kampung halaman. Mereka malu mahu berdepan dengan dengan Kak Long kerana sebelum ini pernah menolak tawaran Kak Long membantu menjual kerepek. Mereka enggan sebab mahu berhijrah ke Kuala Lumpur demi mengejar cita-cita mereka. Namun mereka gagal.

Di rumah Embah Pati, tiga bujang melihat Raya membawa mangkuk tingkat datang beraya. Rupanya Raya tidaklah buta. Tiga bujang kecewa. Rasa ditipu. Dalam perjalanan Raya ke rumah yang lain, dia diculik oleh konco gangster. Oyen yang masa itu menyaksikan kejadian tersebut dan memecut motorsikal mengejar kereta gangster. Siapakah Raya sebenarnya dan apakah motif dia berpura-pura buta, dan apakah sebenarnya yang berlaku sehingga Raya di culik oleh gangster dan siapakah lelaki yang selalu mengekori Raya?

Krew produksi RAYA TAK NAMPAK terbitan Unit Drama TV RTM