Panggung RTM semarak Ramadan dengan telemovie ‘Sebalik, Balik’

KUALA LUMPUR, 19 Mac 2025 – Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus komited dalam menyajikan kandungan bermutu khas untuk penonton setianya sepanjang bulan Ramadan dengan menerbitkan telemovie istimewa bertajuk Sebalik, Balik. Karya arahan Danny Alamsyah ini akan menemui penonton menerusi slot Panggung RTM pada 22 Mac 2025, pukul 9.00 malam di TV1 serta boleh distrim melalui aplikasi RTMKlik.

Mengambil latar lokasi di Perak dan Kuala Lumpur, Sebalik, Balik menampilkan barisan pelakon berpengalaman seperti Fathil Dani, Dalimawati, Shahz Jaszle, Shiqin Kamal, Akmal Ahmad, Wahid Senario dan Farahdhiya. Telemovie ini mengetengahkan kisah yang dekat di hati masyarakat, mengupas realiti kehidupan seorang anak yang kian alpa terhadap tanggungjawab terhadap ibu bapa setelah memiliki keluarga sendiri.

Danny Alamshah di lokasi penggambaran memberikan arahan kepada Shah Jaszle

Diterapkan dengan unsur santai tetapi penuh pengajaran, RTM berharap telemovie ini dapat menyuntik kesedaran dan keinsafan dalam kalangan penonton tentang betapa besarnya pengorbanan ibu bapa yang tidak ternilai dalam kehidupan seorang anak.

Kisah Kekeluargaan Sarat Emosi

Mengisahkan pasangan suami isteri, Pak Jabar (Fathil Dani) dan Cik Sal (Dalimawati), yang merindui anak-anak mereka yang sudah lama tidak pulang ke kampung. Demi mengembalikan kemesraan keluarga, mereka merancang pelbagai helah untuk memujuk anak-anak mereka, Hasya (Shiqin Kamal) dan Hadif (Shahz Jaszle), agar pulang menyambut Ramadan bersama.

Fathil Dani dan Akmal Ahmad

Namun, di sebalik kegembiraan yang terlihat, konflik mula mencetus apabila masing-masing membawa agenda tersendiri yang mengancam keharmonian keluarga. Perjalanan emosi yang penuh suka dan duka ini bakal membawa penonton menghayati erti kasih sayang, keinsafan serta keutamaan hubungan kekeluargaan dalam menghadapi dugaan kehidupan.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Sebalik, Balik pada 22 Mac ini di TV1 dan RTMKlik, eksklusif dalam slot Panggung RTM yang sentiasa menampilkan naskhah bermutu khas untuk penonton setia.