May 22, 2024

KUALA LUMPUR – Semangat menyambut bulan Ramadan makin dirasai dalam kalangan seluruh umat Islam. Kemuliaan bulan Ramadan yang mengutamakan sifat-sifat sabar, tenang, dan berprasangka baik turut diserapkan dalam drama-drama mengisi slot Panggung RTM setiap Sabtu, pukul 9.00 malam menerusi saluran TV1.

Antara lain ajaran Islam digambarkan secara adil, lembut dan mendidik yang disampaikan menerusi dialog dan adegan lucu serta menghiburkan dan bukan melalui kata-kata kasar, dan penuh kesombongan dalam empat telemovie yang dipilih sepanjang Ramadan 1444H ini.

Tajuk: Matin, 25 Mac 2023

Pelakon: Hariz Hazriq, Remy Ishak, Emelda Rosemila, Adlin Aman Ramlie, dan Farahdhiya.

Matin seorang kanak-kanak autism yang cenderung mendengar dan menonton rancangan Al-Quran telah ditinggalkan bersendirian. Matin merayau mencari makan di kawasan sekitar sehingga ia ditemui oleh seorang pemuda bernama Hilman. Sejak bertemu Matin, kehidupan Hilman dan isterinya mula berubah.

Tajuk: Rumah Cinta Kasih, 1 April 2023

Pelakon: Shahronizam Noor, Kuna Muzani, Dayang Areeda, Intan Syuhada, dan Hadi Putra.

Rumah anak yatim yang dibina oleh Ayah Chik sempena lambang kasih sayang untuk isterinya Kaseh hampir dilelong akibat masalah silap urus kewangan. Penghuni asal, Adam dan Aina cuba membantu Ayah Chik. Berjayakah Ayah Chik bersama Adam dan Aina menyelamatkan Rumah Cinta Kasih dari dilelong?

Tajuk: Senaskah Braille, 8 April 2023

Pelakon: Aida Khalida, Danish Hazriq, Qistina Raisah, Hamidah Wahab, Zaidi Omar, dan Azri Iskandar

Melihat ibunya yang sudah tidak dapat membaca Al-Quran lagi kerana buta akibat kemalangan telah menyebabkan Naufal bertekad mengumpul wang bagi menghadiahkan al-Quran braille untuk ibunya sebelum bulan Ramadan menjelang. Dalam masa yang sama Naufal teringin sekali bertemu ayah tidak pernah ditemuinya. Berjayakah Naufal mencapai apa yang dihajatinya?

Tajuk: Memintas Al-Qadar, 15 April 2023

Pelakon: Shamsul Ghau-Ghau, Nadhir Nasar, Harith Haziq, Alif Hadi, Adik Danish Hazriq dan Abby Nadzri.

Fikri dan Faisal yang bersahabat di semasa tinggal di Rumah Kasih terpaksa berpisah apabila Faizal telah mendapat keluarga angkat dan tinggal di luar negara. Setelah dewasa dan mempunyai kehidupan sendiri mereka ditakdirkan bertemu semula namun hubungan persahabatan mereka mula diuji apabila Faizal yang sekarang bukanlah Faizal yang dikenalinya dahulu.

Bagi yang terlepas menyaksikan siarannya menerusi saluran TV, luangkan masa menerusi RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my).