Papa Zola Kini di Layar Perak: Monsta Lancar Teaser Filem Animasi Terbaharu

CYBERJAYA, 2 Mei 2025 – Penerbit animasi terkemuka tanah air, Monsta, dengan kerjasama Astro Shaw, telah mengumumkan pelancaran rasmi teaser bagi filem animasi terbaharu mereka, Papa Zola The Movie, yang merupakan francais keempat selepas kejayaan besar BoBoiBoy dan Mechamato. Teaser tersebut mencatat kejayaan luar biasa apabila meraih lebih dua juta tontonan dalam tempoh kurang 24 jam selepas dilancarkan di pelbagai platform digital.

Papa Zola, watak guru jenaka yang cukup dikenali dengan tagline “Kebenaran!”, telah lama menjadi kegemaran peminat sejak kemunculan sulungnya. Dengan lebih 3 bilion tontonan menerusi meme tular, video pendek dan kandungan digital di media sosial, watak ini telah mencetus fenomena di Malaysia dan Indonesia.

Kini, Monsta membawa karakter ikonik ini ke layar perak dengan Papa Zola The Movie, yang dijadualkan ditayangkan pada Disember 2025. Filem ini menjanjikan pengalaman menonton yang penuh aksi, komedi serta nilai kekeluargaan, dengan jalan cerita bertemakan keberanian dan serangan bergamifikasi yang mendebarkan.

“Ini adalah kali pertama Papa Zola menjadi watak utama selepas kemunculan beliau dalam BoBoiBoy The Movie (2016) dan BoBoiBoy Movie 2 (2019),” kata Pengarah filem, Nizam Abd Razak.

“Filem ini akan mengupas kisah asal-usul Papa Zola, di samping menampilkan elemen aksi, drama dan pencerobohan makhluk asing yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga.” Katanya lagi.

Papa Zola The Movie menyertai arus kebangkitan filem animasi tempatan di bawah inisiatif #aniMY dan mendapat sokongan padu peminat menerusi semangat #sapotlokal. Monsta terus membuktikan keupayaannya sebagai peneraju industri animasi Malaysia dengan karya yang berkualiti tinggi serta berteraskan nilai tempatan.

Filem ini dijangka menjadi antara tontonan wajib musim cuti akhir tahun ini. Nantikan kehangatan Papa Zola di pawagam berhampiran anda mulai Disember 2025.