November 2, 2024

Warning: sprintf(): Too few arguments in /home5/darulmul/public_html/kelkatutv.com/wp-content/themes/chromenews/lib/breadcrumb-trail/inc/breadcrumbs.php on line 253

KUALA NERUS : Menyedari kepentingan kesedaran memelihara ekosistem alam sekitar menerusi pendidikan, Majlis Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini tampil memasang papan tanda kempen kesedaran alam sekitar di kawasan Pantai Teluk Dalam Pulau Redang, Terengganu.

Menurut Naib Canselor UPSI, inisiatif paparan papan tanda dengan ketinggian dua meter dan 1.2 meter lebar itu yang menyampaikan maklumat tujuh prinsip ‘Tinggalkan Tanpa Jejak’ atau ‘Leave No Trace’ dalam dwibahasa iaitu Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris diharap menjadi panduan kepada para pengunjung untuk sama-sama membantu memelihara pantai tersebut.

“Sebagai sebuah pusat pengajian peneraju pendidikan terulung tanahair, UPSI sentiasa cakna kepada kepentingan tanggungjawab sosial dengan inisiatif yang dapat memberi faedah dan kestabilan kepada tahap pemulihan negara terutamanya dalam menyalur pendidikan kepada masyarakat, melalui penyampaian maklumat yang dipaparkan untuk dibaca, difaham dan diamalkan pengunjung,” jelasnya ketika sesi simbolik penyerahan papan tanda yang siap dipasang kepada Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Pulau Redang, Amran Mat.

Tujuh teras ‘Tinggalkan Tanpa Jejak’ yang dipaparkan pada papan tanda tersebut ialah perancangan dan persiapan aktiviti, pelupusan sisa dengan cekap, menggunakan tapak perkhemahan dan lalun yang ditetapkan, jangan alihkan bahan, tumbuhan atau artifak yang dijumpai, minimumkan pembakaran, bertimbang rasa pada pengunjung yang lain serta menghormati hak kehidupan haiwan liar.

Antara sukarelawan UPSI yang terdiri daripada Majlis Pengarah JHEPA menaikkan papan tanda kesedaran alam di Pantai Teluk Dalam, Pulau Redang

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Profesor Dr. Norkhalid Salimin berkata, inisiatif itu juga dilaksanakan untuk menyokong ‘Matlamat Pembangunan Mampan 14, Hidupan Bawah Air, Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu’ dengan meningkatkan pengetahuan saintifik, penyelidikan dan teknologi untuk kesihatan lautan.

“Kawasan pantai ini padat dengan kehadiran pelancong serta menjadi tumpuan pengunjung yang menginap di chalet-chalet diusahakan oleh penduduk kampung serta pengusaha hotel berhampiran kerana tarikan seperti kehadiran penyu yang mudah ditemui di sekitar pantai selain keindahan pantai itu sendiri, maka dengan kehadiran papan tanda secara tidak langsung bukan saja mendidik malah pemindahan maklumat akan berlaku kepada para pengunjung,” jelasnya. 

Sementara itu, turut Pengerusi Majlis Pengarah JHEPA UPSI, Dr. Mazuki Mohd Yasim berkata, inisiatif tersebut yang turut diselaraskan oleh sembilan ahli jawatankuasa Pengarah terdiri daripada Pusat KoKurikulum, Pusat Alumni, Pusat Kebudayaan, Pusat Sukan, Pusat Kaunseling, Pusat Islam, Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), Pusat Ulul Albab dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPSI akan terus melaksanakan program khidmat komuniti di masa-masa akan datang.

“Sebelum ini Majlis Pengarah JHEPA menerusi Pusat Kokurikulum sendiri telah mengadakan pelbagai bengkel melibatkan pemindahan ilmu melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia daerah Muallim seperti proses penyelamat menerusi arus deras dan mendapat penyertaan yang amat menggalakkan,” jelasnya lanjut.

“Menerusi penyatuan semua pusat tanggungjawab di bawah Majlis Pengarah JHEPA ini juga secara tidak langsung dapat menyelaras aktiviti dan program berimpak melalui gandingan lebih strategik, lantas bakal melahirkan pelbagai inisiatif yang akan menyuburkan kesukarelawan dan pemindahan ilmu dengan lebih lestari,” jelasnya lanjut.

Papan tanda kesedaran alam diharap menjadi panduan kepada para pengunjung untuk sama-sama membantu memelihara pantai