KUALA LUMPUR : Pertama Kali Di Malaysia, kumpulan muzik terkenal Indonesia, Payung Teduh, Pusakata dan Efek Rumah Kaca bakal beraksi di atas satu pentas yang sama menerusi konsert ‘Senandung Malam : Payung Teduh X Pusakata, Efek Rumah Kaca’ yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, malam esok bermula pukul 8.30 malam.
Payung Teduh dan Pusakata bakal bergabung sekaligus menjadikan konsert ‘Senandung Malam’ pertama kali buat kolaborasi ini mengunakan nama rasmi sebagai Parade Hujan.
Pusakata atau nama sebenarnya, Mohammad Istiqamah Djamad mengatakan kali terakhir Payung Teduh diundang membuat persembahan di Malaysia sekitar tahun 2017 sebelum mereka berpecah.
“Sebelum ini ada juga permintaan untuk bergabung tetapi saya percaya pada soal jodoh dan rezeki. Mungkin ini petanda baik buat kami sebagai Parade Hujan,” katanya ketika ditemui di sidang media bertempat di Swee Lee, Pusat Membeli Belah Lot 10, di sini hari ini.
‘Senandung Malam’ nama yang begitu signifikan dipilih penganjur Neptunes Presents untuk konsert pertama kali Payung Teduh dan Pusakata akan bernikah di bawah satu payung dalam rumah yang sama disamping Efek Rumah Kaca. Apa lagi mendengar mereka beraksi di atas pentas yang sama adalah sebuah bonus. Senandung-senandung mereka akan membuat semua kecanduan.
Senandung-senandung mereka seperti Akad dan Menuju Senja (Payung Teduh) atau Jatuh Cinta Itu Biasa, Sebelah Mata dan Merdeka pasti akan membuai emosi peminat di sebalik permainan folk dan rock dari genre band masing-masing.
Bagi Neptunes Presents, mengumpulkan mantan vokalis Payung Teduh, Pusakata yang meninggalkan kugiran itu pada 2018, lalu digabungkan pula bersama Efek Rumah Kaca umpama ‘durian runtuh’ buat mereka.
Pelakon terkenal, Nabila Huda selaku penganjur percaya penggemar muzik aliran indie, folk atau rock yang mengikuti dengan dekat tentang karya dan perkembangan terkini Payung Teduh, Pusakata dan Efek Rumah Kaca tidak akan melepaskan peluang keemasan menonton kehebatan mereka dalam Senandung Semalam.
“Jika peminat berteriak gembira dan tidak sabar untuk datang ke Zepp Kuala Lumpur nanti, kami di Neptunes Presents pula seperti sudah sebelah tangan mendapat ‘durian runtuh’. Saya suka kepada kedamaian dan ketenangan. Bagi saya Payung teduh, pusakata dan Efek Rumah Kaca adalah contoh muzik yang akan membawa kita mengembara ke satu alam yang amat menyenangkan. Jadi saya mengajak peminat-peminat muzik untuk bersama-sama saya bernyanyi di senandung malam”, ujarnya.
Efek Rumah Kaca juga melahirkan kebahagiaan yang sama untuk kembali ke Malaysia.
“Apa lagi momen bermakna ini diabadikan di Malaysia, sebuah kesempatan yang tidak mungkin dilepaskan saat pertama kali penganjur menawarkan ‘pekerjaan” ini.
“Bukan hanya peminat, tetapi kami sendiri di Efek Rumah Kaca melihat konsert ini sebagai salam silaturahmi setelah sekian lama tidak menyapa anda di sini,” kata ahli kumpulan Efek Rumah Kaca.
Bagi para penggerak Payung Teduh sendiri, mengaku tidak punya alasan untuk menolak tawaran bagi mengadakan persembahan di konsert tersebut. Bukan hanya soal berapa ramai peminat yang hadir kelak, tetapi lebih bagaimana mereka sedar dan menyaksikan dengan empat mata muzik Payung Teduh menerima apresiasi yang baik dari para penggemar di Malaysia.
“Pertama kali dilamar penganjur, kami sudah tidak punya alasan untuk menolak. Kemudian saat diberitahu ini merupakan projek perdana kolaborasi dengan band kegemaran dan berprolifik seperti Efek Rumah Kaca, tiada siapa di antara kami yang bilang ‘No’. Ayuh kita lakukan dan menikmati apresiasi yang akan hadir dari bukan hanya peminat Payung Teduh, tetapi juga peminat Efek Rumah Kaca sendiri,” kata ahli kumpulan Payung Teduh.
Tiket konsert ‘Senandung Malam : Payung Teduh X Pusakata, Efek Rumah Kaca’ dijual pada harga RM180 (Cat 2 dan 4), RM220 (Cat 1 dan 3), manakala RM650 untuk sesi eksklusif ‘meet & greet’ sudah habis dijual di hari yang sama penjualan tiket dibuka. Untuk setiap dua pembelian kategori ‘meet & greet’, peminat akan mendapat barangan yang dihadirkan eksklusif untuk konsert ini.
Neptunes Present juga berbesar mendapat tajaan dari Batik Air selaku penaja penerbangan, Sari Ratu selaku tajaan makanan rasmi dan Swee Lee selaku penaja lokasi sidang media.