Pelancaran episod pertama webdrama vertikal ‘Mencari Lu’lu’u Dan Marjan’ di Tiktok

PUTRAJAYA, 5 Februari 2025 – Sahabat Qitmir Sdn Bhd dengan bangganya melancarkan episod pertama webdrama vertikal terbaharu mereka, Mencari Lu’lu’u dan Marjan, di TikTok bermula 5 Februari 2025. Kejayaan siri sulung mereka, Tuah Encik Tuah, yang tamat pada 23 Januari lalu dengan 102 episod, telah membuka jalan kepada kesinambungan penerbitan kandungan eksklusif di bawah jenama SQFlix. Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkenalkan aplikasi SQFlix sebagai platform utama bagi kandungan webdrama Nusantara, yang berpotensi mengubah landskap hiburan digital serantau.

Mencari Lu’lu’u dan Marjan membawa kisah penuh intrik tentang Raja Muda Alauddin Shah, yang dilakonkan oleh Alauddien Taufik. Sebagai syarat untuk menaiki takhta Kerajaan KencanaPura, baginda terpaksa menyamar sebagai rakyat biasa. Dengan nama samaran Sudin, beliau bekerja di sebuah farmasi tradisional, di mana beliau bertemu dua wanita berpengaruh, Amirah Mansur (Riena Amirah) dan Suzianna Hakim (Nas Adila AF7). Ketika terperangkap dalam konflik perniagaan dan politik di Bandaraya PutraWijaya, identiti sebenar Raja Muda semakin terancam. Mampukah baginda menunaikan amanah sebelum kembali ke istana?

Siri ini akan disiarkan dengan 2-3 episod baharu setiap hari, menjadikan keseluruhan jumlah episod dianggarkan sekitar 100. Peminat drama tempatan dan serantau pasti teruja dengan naratif unik serta barisan pelakon berbakat. Lebih menarik, drama ini turut menampilkan bintang khas dari Kabupaten Siak, Ustaz Sujarhadi sebagai Tan Sri Sulaiman, serta Puteri Pantun Riau dari Provinsi Riau sebagai Anita.

Pelancaran webdrama ini juga selaras dengan matlamat SQFlix untuk menjadi peneraju utama dalam penerbitan webdrama vertikal Bumiputera. Dengan inisiatif dan pembiayaan sendiri, SQFlix berazam untuk terus menghadirkan karya berkualiti yang relevan dan segar kepada penonton. Penggunaan TikTok sebagai platform permulaan dilihat sebagai langkah strategik, sejajar dengan populariti format drama vertikal di China, Amerika Syarikat, dan Indonesia. SQFlix berkomitmen untuk menghasilkan lebih banyak kandungan tempatan dalam format ini, dengan sokongan penonton yang amat dihargai.

Warganet dijemput untuk menonton episod pertama Mencari Lu’lu’u dan Marjan yang akan tersedia di akaun rasmi TikTok @sqflix.com bermula pada hari ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi SQFlix di www.sqflix.com atau ikuti media sosial mereka di @sqflix.com (TikTok), @sqflix (Instagram), dan @SQFlixDrama (Twitter).