KUALA LUMPUR, 18 April 2025 – Pelancaran rasmi filem Kulit Wayang, tayangan perdana treler dan sidang media telah berlangsung dengan penuh meriah pada 13 April lalu, bersempena Festival Budaya Kulit Wayang @ KL Base, Sungai Besi.
Festival dua hari itu menjadi medan promosi unik bagi filem tersebut, merangkumi larian selebriti sejauh 3km, pertandingan tarian tradisional, permainan rakyat serta pelbagai persembahan budaya.
Filem terbitan Mico Studio (M) Sdn Bhd ini menampilkan barisan bintang popular seperti Fattah Amin, Pekin Ibrahim, Reynavenzka Deyandra, Jenna Kamaratih dan Amanda Ang, serta diarahkan oleh pengarah tersohor Dain Said. Turut hadir di pelancaran ialah penerbit Nevin Hiong dan penerbit bersama Penny Chan dari EMT Ventures Sdn Bhd.

“Kami mahu pelancaran ini menjadi sambutan rakyat, bukan sekadar acara media,” kata Penny Chan, yang juga penganjur festival. Fattah Amin pula menyatakan keterujaannya selepas hampir setahun penggambaran, manakala Pekin menyifatkan filem ini sebagai naskhah yang kaya elemen budaya tempatan.
Kisah & Inspirasi
Kulit Wayang berlatar di sebuah kampung pesisir pantai tahun 1980-an, mengisahkan Pak Lee, seorang dalang terpinggir yang dihantui masa silam. Kehadiran Dewi, anak kepada penyelidik seni wayang kulit dari Indonesia, membuka lembaran baharu dalam hidup Pak Lee – namun disusuli misteri dan gangguan makhluk ghaib.

Menurut Dain Said, filem ini merupakan penghormatan kepada tradisi wayang kulit yang semakin pupus. “Saya mahu gabungkan elemen cerita rakyat, mistik dan emosi, dalam gaya visual moden yang mengangkat kekuatan penceritaan tradisional,” jelasnya.
Tayangan Perdana & Sokongan
Acara turut menampilkan persembahan wayang kulit oleh Fattah Amin dan Pekin Ibrahim, serta sesi ramah mesra bersama peminat dan influencer. Filem ini bakal ditayangkan di lebih 50 pawagam seluruh negara mulai 1 Mei 2025, dengan sokongan FINAS dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Turut diumumkan, Festival Muzik Malika 2025 yang dirancang serentak dengan festival budaya tersebut telah ditunda ke 31 Mei bagi membolehkan penganjuran berskala lebih besar. Antara barisan artis yang akan menggegarkan pentas termasuk Nidji, Bunkface dan OAG.
Kulit Wayang – kisah magis yang menyatukan warisan, seni dan jiwa.