January 13, 2025

Bertempat di hadapan panggung wayang ikonik, Coliseum bersempena dengan program Santai Seni@TAR, dua agenda telah dilangsungkan iaitu pelancaran pasukan bolasepak dan jersi rasmi Persatuan Karyawan Malaysia “Karyawan Football Club ” serta pelancaran single “ Majnun” oleh Azmi Saat, yang merupakan projek solo sang penyanyi Caliph Buskers.

“Dahulunya Karyawan mempunyai biro sukan yang agak aktif dan telah menerima pelbagai pelawaan bagi perlawanan persahabatan dari Semenangjung hingga ke Sabah Sarawak, terutamanya pasukan bolasepak dan bowling, namun ianya terhenti agak lama disebabkan pelbagai keadaan terutamanya sewaktu pendemik beberapa tahun dahulu.

“Hairee Kool datang berjumpa menyarankan agar pasukan bolasepak diaktifkan kembali dengan mengemukakan barisan pemain hebat yang terdiri dari para selebriti . Dalam masa yang sama kami turut menjemput rakan-rakan rapat Karyawan yang terdiri dari ikonik bolasepak Negara iaitu Dato Dollah Salleh , Dato Subadron Aziz dan Faiz Subri “PUSKAS” sebagai penasihat pasukan dan juga akan turut membuat penampilan pada mana-mana siri perlawanan yang bersesuaian. Ianya kombinasi yang hebat dan gah bagi pasukan ini,” ujar Presiden Karyawan Dato Freddie Fernandez.

“Ini adalah ruang kami rakan-rakan artis untuk merapatkan lagi ukhwah dan juga terus sihat. Ianya aktiviti yang amat kami gemari dari zaman remaja dan pastinya rehlah sebegini juga satu ruang bagi para peminat untuk bertemu kami di padang bola.

“Nak tengok Johan Raja Lawak, Anye Yassin dan rakan-rakan artis lain buat “lawak” gelecek bola, silalah jemput Karyawan Football Club,” Ujar Hairee Kool selaku Kapten dan Koordinator pasukan.

Majlis yang diadakan pada 11 Ogos lalu adalah bagi pelancaran pasukan dan jersi rasmi pasukan yang mendapat tajaan dari Panca Abadi Automobil Sdn Bhd dan juga sokongan dari jenama selipar premium ANH.

“Bagi sesiapa yang ingin menjemput Pasukan Karyawan Football bagi perlawanan persahabatan boleh menghubungi terus Koordinator pasukan iaitu Hairee Kool di talian 011 64595069 atau saya sendiri di talian 012 2071400. Kebiasaannya kami akan mengenakan Fee dalam kadar tertentu sebagai bayaran token kepada pemain selebriti ini dan beberapa persen akan dimasukkan ke Tabung Kebajikan Karyawan, bagi membantu artis yang uzur dan menghadapi masalah.

 “Kami mahu terus berseni dengan badan yang lebih sihat” , Ujar Dato Freddie Fernandez.