Pelawak terkenal meriahkan Ramadan dengan ‘Dapur Pecah Perut’ di RTM

KUALA LUMPUR – Ramadan kali ini bertambah ceria dengan kehadiran program masakan berkonsepkan hiburan, “Dapur Pecah Perut”, yang menampilkan barisan pelawak terkenal tanah air. Program 26 episod ini telah mula bersiaran di saluran Okey setiap Isnin hingga Sabtu, pukul 1.00 tengah hari, dan boleh ditonton menerusi aplikasi RTMKlik.

Menampilkan nama-nama besar dalam industri lawak seperti Mark Adam, Issey, Ropie, Atu Zero, Nizam Jentik-Jentik dan Chiwan, program ini menjanjikan suasana dapur yang gamat dengan gelak tawa. Bersama cef selebriti terkenal, Cef Deedee, para pelawak akan mencabar diri untuk menyediakan hidangan sahur, moreh dan berbuka puasa.

Konsep Berbeza dan Penuh Cabaran

Episod satu hingga 13 menampilkan pelawak sebagai peserta dalam cabaran memasak di studio, di mana mereka harus menyediakan tiga jenis hidangan untuk sahur, moreh, dan berbuka puasa. Salah satu segmen paling dinanti-nantikan adalah “Bilik Berdengkur”, di mana pelawak dikejutkan dari tidur dan hanya mempunyai 15 minit sebelum waktu imsak untuk menyiapkan hidangan sahur dengan bantuan Cef Deedee.

Selain itu, mereka juga akan mengunjungi bazar Ramadan untuk belajar serta membeli makanan popular bagi hidangan moreh. Program ini diakhiri dengan sesi memasak menu berbuka puasa di segmen “Dapur Pecah”, yang pasti dipenuhi dengan pelbagai aksi lucu serta kesilapan mereka dalam menyediakan hidangan sebelum berbuka puasa bersama.

Misi Kebajikan dan Jelajah Menarik

Bermula episod 14 hingga 26, konsep program bertukar apabila para pelawak yang bertindak sebagai hos akan keluar ke lokasi menarik untuk meneroka serta mencari menu berbuka puasa yang popular di kawasan tersebut. Mereka bukan sahaja belajar cara memasak makanan tersebut tetapi juga akan mengambil alih perniagaan di gerai pilihan selama sehari.

Program ini turut memaparkan elemen kebajikan apabila selebriti yang terlibat akan berusaha mengumpul dana untuk sebuah badan kebajikan melalui hasil jualan mereka. Ketika menghadapi saat genting, Cef Deedee akan hadir membantu mereka dalam urusan perniagaan.

Dengan gabungan elemen komedi, cabaran, dan kebajikan, “Dapur Pecah Perut” bukan sekadar program memasak biasa tetapi sebuah hiburan istimewa sepanjang Ramadan. Pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikannya hanya di RTM!