March 2, 2024

KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghadiahkan tayangan semula program ‘Hiburan Minggu Ini… Tangkap Leleh’ yang berlangsung baru-baru ini pada bila-bila masa dan dimana jua menerusi platform RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my).

Sepanjang satu jam setengah bersiaran, program terbitan Unit Hiburan TV RTM ini menampilkan persembahan istimewa artis popular tanah air termasuklah Amir Ukays, Rahmad Mega, Baggio Damasutra, Isa Gravity, Iera Milpan, Poey Stings, Blank Gamma, dan Aweera.

Kira-kira 600 penonton yang hadir menyaksikannya di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur ini nyata terhibur dengan seleksi pilihan 14 lagu yang membuai perasaan.

Kemunculan gandingan dua pelawak Joey Daud dan Achey berjaya mencuit hati penonton dengan lawak santai mereka.Awal persembahan pembukaan menyaksikan mereka bersatu dalam lagu ‘Still Loving You’, dipopularkan oleh Scorpions.

Menyampaikan medley lagu ‘Mahligaimu Dari Air Mataku’, ‘Bila Cinta Didusta’ dan ‘Tika Dan Saat Ini’, persembahan artis kelahiran Perlis ini berjaya memukau penonton untuk sama-sama menyanyikan lagu yang masih menjadi siulan sehingga kini.

Seterusnya kemunculan Blank vokalis Kumpulan Gamma terus menghiburkan dengan lagu hit mereka suatu ketika dahulu yang masih menjadi pilihan sehingga kini bertajuk ‘Kembang Terhalang’.

Pentas terus dihangatkan dengan persembahan lagu medley ‘Antara Sutra dan Bulan’ dan Asyik oleh vokalis Kumpulan Damasutra, Baggio. Ia disusuli lagu popular kumpulan ini bertajuk ‘Umpama Mimpi Dalam Mimpi’.

Umpama pengubat rindu, kemunculan Poey, penyanyi Kumpulan Stings mendapat tepukan gemuruh penonton. Poey menyerlah dengan lagu-lagu cinta popular kumpulan ini seperti ‘Kau Tetap Ku Hajati’, ‘Dalam Diam Ku Mencintaimu’ dan lagu ‘Adakah Kau Setia’.

Seterusnya giliran penyanyi Kumpulan Gravity, Isamenghiburkan dengan lagu hit ‘Kesinambungan Cinta’ diikuti kemunculan satu-satunya bunga dalam persembahan hiburan ini iaitu Iera Milpan. Dengan lagunya bertajuk ‘Retak Hatiku’, penonton tidak melepaskan peluang turut sama menyanyikan lagu yang mula mendapat tempat di hati peminat ini.

Lagu-lagu irama tangkap leleh terus dilagukan oleh Rahmat, vokalis Kumpulan Mega dengan medley lagu ‘Suara Cinta’ dan ‘Takdir dan Waktu’. Menyusul kemudiannya lagu ‘Bayangan Gurauan’ popular sekitar tahun 1993 yang juga pemenang kategori Lagu Paling Popular Pujaan 10 Nescafe kategori artis berkumpulan, tahun sama.

Kemuncak persembahan menyaksikan kemunculan Amir Ukays menghiburkan yang hadir dan penonton TV2 di rumah menerusi medley lagu ‘Pahit Akan Manis Akhirnya’ dan ‘Bila Diri DiSayangi’. Amir kemudiannya turut menyampaikan lagu ‘Di Sana Menanti Di Sini Menunggu’.

Sebagai penutup persembahan, penonton dihadiahkandengan lagu malar segar nyanyian asal Kumpulan Iklim bertajuk ‘Suci Dalam Debu’ yang disampaikan oleh kesemua artis yang terlibat.