
KUALA LUMPUR – Peminat kumpulan Trash Metal, Kreator bagai ‘melepaskan geram’ yang terpendam setelah penantian selama 19 tahun untuk menyaksikan band yang berasal daripada Essen, Jerman ini kembali ke Malaysia dalam sebuah konsert berjudul “Kreator Strongest of The Strong Live In Malaysia’ yang telah berlangsung pada 25 Januari lalu di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert yang bemula pada pukul 8.30 malam itu membuat setiap peminat Metal yang rata-rata berusia begitu teruja dan memjadikan dewan konsert gemuruh dengan sorakan. Bermula dengan lagu “Hate Über Alles” peminat tegar Kreator bagai melepaskan dendam yang terpendam selama ini dengan melakukan aksi Mosh Pit di tengah-tengah gerombolan penonton.


Mille Petrozza begitu gagah dan energetik sekali membanting lagu demi lagu dengan stamina yang tak terbatas. “People of The Lie” menjadi hidangan pembakar semangat peminat selanjutnya Jiwa-jiwa kembali bertenaga setelah sekian lama memendam rasa dan kembali kepada memori era 90an.
“Kuala Lumpur!” seru Mille Petrozza… “Kreator has returned!,” kata-kata itu mengundang jerit-pekik yang bergema di seluruh Zepp Kuala Lumpur. Kali terakhir Kreator mengadakan persembahan di Kuala Lumpur pada tahun 2005 manakala konsert yang dijadualkan pada tahun 2014 telah dibatalkan.

Tidak dinafikan bahawa persembahan yang dihidangkan oleh Vokalis Miland “Mille” Petrozza, Jürgen “Ventor” Reil, Sami Yli-Sirnio dan Frédéric Leclercq pada malam itu cukup luar biasa serta penuh energertik biarpun usia ahli kumpulan masing-masing sudah melepasi 50 tahun. Ini dapat disaksikan sendiri di hadapan mata hampir 2,000 peminat kumpulan yang telah ditubuhkan pada tahun 1982 ini.
Sehingga kini, Kreator telah mengeluarkan 15 album studio, dua album mini atau EP, dua album ‘live’ dan tiga album kompilasi, setakat ini semuanya telah berjaya terjual di seluruh dunia melebihi dua juta unit sekali gus menjadikan mereka kumpulan thrash metal Jerman terlaris sepanjang masa.

Konsert anjuran Rockstage Entertainment dengan kerjasama Lampuneon ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah kumpulan Kreator bagi mempromosikan album baharu mereka ‘Hate Über Alles’.
Dengan mutu dan sistem bunyi serta pencahayaan yang cukup luar biasa menjadikan konsert Trash Metal ini sebagai satu kejayaan yang amat dibanggakan walaupun tempoh persembahan hanya berdurasi sejam lebih sahaja dan ia turut diakui oleh anggota Kreator sendiri sejurus selepas konsert berkenaan sebelum berlepas ke Indonesia untuk persembahan seterusnya.

Untuk info, barisan kumpulan ini telah berubah beberapa kali sepanjang kerjayanya selama 40 tahun, paling ketara dengan pemain bass dan pemain gitar utama mereka. Petrozza dan Reil adalah satu-satunya dua ahli asal yang tinggal di Kreator, walaupun Reil telah berehat seketika daripada kumpulan itu dari 1994 hingga 1996. Yli-Sirniö telah menjadi pemain gitar utama Kreator sejak 2001, manakala Leclercq menyertai pada 2019 sebagai pengganti Christian “Speesy” Giesler, yang telah menjadi ahli kumpulan itu sejak 1994.


