October 17, 2024

KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan filem aksi nombor 1 paling laris di Malaysia, Sheriff, pengarahnya Syafiq Yusof kembali dengan ‘Telekinesis’, sebuah naskhah eksklusif hanya di Astro First bermula 10 Oktober. 

Penonton boleh menikmati karya sains fiksyen (sci-fi) ini menerusi platform Astro saluran 480 atau On Demand dan Astro GO, serta peranti pilihan anda melalui sooka bermula 10 Oktober ini. Telekinesis boleh dilanggan pada satu harga iaitu RM16.20 di platform Astro, manakala RM 19.50 di platform penstriman sooka untuk tempoh 48 jam. 

Naskhah ini juga menyaksikan Syafiq kembali menghasilkan karya eksklusif untuk tayangan di platform Astro First, selepas mencipta fenomena melalui filem Penunggang Agama dan Penunggang Agama 2 pada tahun 2021, dengan mencatat kutipan lebih RM5 juta.

Syafiq Yusofberkata, “Menerusi Telekinesis, saya mahu membawa penonton ke sebuah dunia yang penuh dengan aksi, ketegangan dan misteri. Sci-fi memberi ruang kepada saya untuk meneroka kisah yang lebih mendalam, di mana penonton akan dihidangkan bukan sekadar pertempuran kuasa, tetapi pergolakan emosi dan pengkhianatan yang merungkai sebuah misteri. Penonton akan dibawa ke dalam konflik setiap watak, di samping menikmati visual yang menarik. Saya yakin Telekinesis akan memberi pengalaman berbeza, dan membuka ruang untuk pembikin filem kita mempertaruhkan potensi genre sci-fi di Malaysia.”

Telekinesis mengisahkan tentang Fadli, Aru dan Lee yang menjalani kehidupan sebagai ahli organisasi ‘National Telekinesis Security Force’ (NTSF). Mereka ditugaskan untuk menumpaskan sebuah gerakan rahsia yang dipanggil ‘Telekinesis Liberty Movement’ (TLM). Misi NTSF menjadi rumit apabila seorang lelaki misteri bertopeng yang dipanggil ‘Helang’ mengganggu setiap operasi NTSF. Misi Fadli dan Lee adalah untuk menumpaskan TLM dan Helang, manakala Aru mengesyaki ada pengkhianat di kalangan mereka, menjadikan misi ini semakin mencabar dan mendebarkan. 

Telekinesis pasti membuat penonton tidak senang duduk, tambahan pula watak-watak dalam karya ini digerakkan dengan begitu berkesan oleh barisan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Yusuf Bahrin, Aman Graseka, Nick Davis, Hasnul Rahmat, Wanji Aswand, Shabby dan ramai lagi. 

Telekinesis diterbitkan Viper Studios dan merupakan salah sebuah karya di bawah Dana Program TV/OTT Finas dengan kerjasama Astro. Sesi penggambaran Telekinesis di buat semasa fasa pemulihan pandemik.