KUALA LUMPUR – Unit Drama TV (UDTV) RTM kembali menerbitkan drama Tamil khas sempena sambutan Deepavali yang menonjolkan keunikan tersendiri. Sebagai kesinambungan kepada penerimaan baik penonton terhadap drama Kau Abang Aku, kali ini RTM tampil dengan drama bertajuk “Kau Abang-Abang Aku”.
Ia mengekalkan sentuhan pengarah berbangsa Melayu, iaitu Wan Afzam Wan Daud, antara penerbit berpengalaman di UDTV RTM dalam karya yang menggunakan bahasa Tamil sepenuhnya. Termasuk juga dari segi pemilihan pelakon yang semuanya berbangsa India.
Memulakan siaran pada 14 November ini, setiap Khamis, pukul 9.00 malam di TV2, siri 13 episod ini menampilkan pelakon Alvin Martin, Thevaguru, Tivagaran, Khesshika, Hamsni, Devakanni, Lynna, Shamvanan dan Sasitharan K Rajoo.
Menjalani penggambaran di Cameron Highlands, Pahang, kisah kekeluargaan dalam drama ini menceritakan tentang Ricky, Rohit dan Ramesh mendapat perkhabaran mengenai kematian ayah mereka di luar negara. Mereka diminta pulang ke rumah agam bagi tujuan pembahagian harta.
Peguam ayah mereka mahu membacakan wasiat, namun dengan syarat mereka kena mencari tahu keberadaan Ratna adik mereka dan membawa Ratna kembali.
Dalam usaha mencari Ratna muncullah watak-watak lain yang masing² mempunyai agenda. Apakah yang terjadi kepada Ratna? Dapatkah mereka merungkai permasalahan yang terjadi dalam keluarga mereka.? Jangan lupa saksikan Drama Khas Tamil 13 episod Kau Abang-abang Aku… Hanya di TV2.