CYBERJAYA – Penyanyi yang sedang meningkat naik, Adam Nordin, 26, kini memilih untuk dikenali sebagai Adam Matiin selepas melakukan penjenamaan semula nama pentasnya. Menurut Adam, salah satu sebab utama di sebalik penukaran nama ini adalah untuk memastikan kehadirannya lebih mudah dikenali di platform carian seperti Google.
“Kita nak bila orang buat carian di internet, mereka terus jumpa saya, bukan orang lain. Nama Matiin ini unik dan kurang digunakan, jadi ia membantu saya untuk berdiri sendiri dalam dunia digital,” jelas Adam dalam satu sidang media pelancaran single terbaharu “Detak Cinta”, di sebuah kafe Salty’s Cyberjaya, baru-baru ini.
Adam juga mendedahkan bahawa nama “Matiin” dipilih kerana ia diambil daripada Asmaul Husna, yang bermaksud “teguh”. Nama ini bukan sahaja melambangkan ketahanan diri, tetapi juga kekuatan dalam menghadapi cabaran industri muzik yang semakin kompetitif.
“Saya mahu membawa maksud yang lebih mendalam dalam setiap karya dan perjalanan karier saya. Nama Matiin ini sesuai dengan semangat saya untuk terus kukuh dan berdaya saing,” tambah Adam.
Penjenamaan semula ini dilihat sebagai satu langkah strategik untuk memperkukuhkan identiti digital dan profesionalnya. Dengan restu ibunya, Adam yakin bahawa nama baharu ini akan membuka lebih banyak peluang dan rezeki dalam karier seni beliau.
Sementara itu, Adam yang kembali dengan single terbaharunya bertajuk “Detak Cinta” yang dicipta sepenuhnya oleh beliau menampilkan susunan muzik oleh Alan Monosterio, manakala proses rakaman dijalankan di Studio Asia Empire Records Malaysia. Adunan akhir lagu tersebut pula dilakukan oleh Anep Monosterio.
Sebelum ini, Adam pernah menghasilkan single berjudul “Hey Lady” pada tahun 2021, namun kali ini dengan “Detak Cinta,” beliau tampil dengan konsep muzik yang lebih matang dan segar. Lagu ini mencerminkan evolusi peribadi dan kerjaya muzik Adam, yang kini lebih fokus kepada nuansa yang lebih mendalam serta emosi yang lebih kaya.
“Detak Cinta” juga menandakan kerjasama kali kedua antara Adam dan syarikat rakaman Asia Empire Records, membuktikan hubungan profesional yang kuat antara mereka. Pada 6 September 2024, Adam mengadakan mini showcase solo di Alor Setar, yang berjaya menarik perhatian ramai dan mendapat sambutan luar biasa daripada penonton.
Seorang Penyanyi dan Tenaga Pengajar Vokal
Selain daripada kejayaan sebagai penyanyi, Adam Matiin juga merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Muzik dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Pengalaman akademik ini telah memperkukuhkan asas muziknya, di mana beliau kini berkhidmat sebagai tenaga pengajar vokal di sebuah institut muzik di Singapura. Adam juga mempunyai pengalaman luas dalam persembahan pentas, termasuk menjuarai beberapa pertandingan nyanyian sehingga ke peringkat Asia.
Inspirasi dan Gaya Muzik
Muzik Adam sering berinspirasikan ikon besar seperti Celine Dion dan Anuar Zain, yang mana jelas dilihat kecenderungannya kepada genre pop ballad, blues, dan jazz. Namun, Adam tidak gentar untuk bereksperimen dengan genre-genre baharu, membuktikan kesediaannya untuk menjadi seorang penyanyi yang versatile dan dinamik.
Adam berharap agar “Detak Cinta” dan karya-karya mendatangnya dapat diterima dengan baik oleh para pendengar, sambil memberi impak positif dalam industri muzik tempatan. Menurut Adam, beliau kini dalam perancangan untuk merakam beberapa lagu baru, yang mungkin bakal mengarah kepada penghasilan album pertama.
Adam Matiin kini giat mempromosikan single terbarunya dan berharap agar perubahan nama ini memberi impak positif kepada perjalanan seninya. Dengan dedikasi dan semangat yang tinggi, Adam Matiin tekad untuk terus memeriahkan dunia seni tanah air dan memberikan sumbangan yang bermakna dalam arena muzik Malaysia.