Pentas Peluru Cokelat: Barbarik Ledakkan Semangat Rock di Zepp KL

KUALA LUMPUR, 30 Mei 2025 – Arena muzik rock tempatan bakal digegarkan dengan kemunculan konsert kumpulan Barbarik bertajuk ‘Pentas Peluru Cokelat’ yang akan berlangsung pada Sabtu, 28 Jun 2025 jam 8.45 malam di ZEPP Kuala Lumpur.

Konsert ini menandakan detik penting dalam perjalanan Barbarik selepas pelancaran album sulung mereka Peluru Cokelat pada Oktober 2024. Walaupun Barbarik membawa nama baharu dalam industri, barisan ahlinya merupakan legenda yang telah mewarnai dunia muzik tanah air selama lebih empat dekad. Nama-nama seperti Muss, Jobranko, Rozaimi, Ainol serta beberapa pemuzik undangan tersohor menyatukan pengalaman dan semangat rock dalam satu persembahan yang dijangka menjadi titik perubahan besar dalam landskap muzik tempatan.

Konsert berdurasi dua jam ini akan mempersembahkan sekitar 20 buah lagu, termasuklah karya-karya daripada album baharu serta lagu-lagu ikonik yang bakal membangkitkan nostalgia. Antaranya, Nasib Baik, On My Side, Handal, Kasmaran Selamanya, Sakit Bantal Empuk, Marcapada, Golok Kayu, dan Peluru Cokelat – sebuah senarai lagu yang dijamin membakar semangat para peminat lama dan baharu.

Segmen istimewa ‘Retro Akustika’ akan membawa penonton menyusuri era kegemilangan 80-an dan 90-an, diserikan dengan gandingan istimewa bersama Jobranko dan barisan gitaris hebat – Shah Slam, Ujang Tukimon, dan Muzza – yang akan diiringi oleh ‘string octet’ terdiri daripada 8 pemain alat gesek profesional. Kesemua ini dijangka menyuntik kelainan artistik yang luar biasa.

Turut memeriahkan pentas ialah Karl Cromok, pemuzik undangan sewaktu penerbitan album Peluru Cokelat, yang akan membuat penampilan khas untuk lagu Golok Kayu.

Menurut JoBranko, “Album baru kami sebenarnya lebih segar, dengan pendekatan muzik semasa. Kami mahu generasi muda, khususnya Gen Z, dekat dengan muzik Barbarik. Dalam konsert nanti, kami akan beri yang terbaik – daripada lagu-lagu baharu, katalog lama saya bersama Muss, hingga ke rentak yang orang nak dengar dari dulu hingga sekarang.”

Konsert ini dianjurkan oleh Karri Talk Production dengan kerjasama Pentas Barbarik Sdn. Bhd. dan dijangka menarik perhatian pelbagai lapisan peminat muzik rock dari seluruh negara.

Maklumat Tiket:

  • CAT 1 – RM150.00 (Free Standing)

  • CAT 2 – RM380.00 (VVIP Seating)

  • CAT 3 – RM280.00 (VIP Seating)

  • VIP Box – RM8,000.00 (10 pax)
    (Harga tidak termasuk fi tiket dan caj pembelian atas talian)

Tiket boleh dibeli secara atas talian di: ilassotickets.com
Untuk pembelian VIP Box, sila hubungi: +6011 5502 5020 (Jat)

Sesi Meet & Greet Eksklusif Bersama Barbarik:

  • Tarikh: Ahad, 29 Jun 2025

  • Masa: 2.00 petang

  • Tempat: Heritage Club, Royale Chulan Kuala Lumpur

  • Harga: RM100.00/pax (terhad kepada 200 orang sahaja)
    Hubungi untuk tempahan: +6011 5502 5020 (Jat)

Pihak Barbarik juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Heritage Club Royale Chulan Kuala Lumpur atas majlis ‘soft opening’ premis tersebut serta penghargaan atas kesudian mereka menjadi hotel rasmi Konsert Pentas Peluru Cokelat.