HULU KELANG – Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching mengumumkan pembukaan penyertaan untuk Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) bermula 20 Ogos hingga 6 September 2024 di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Kelang, semalam.
Malam Anugerah FFM33 akan berlangsung pada 7 Disember 2024 di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media dengan tema “Emas” yang melambangkan evolusi dan kejayaan sinema Malaysia.
Tema ini juga mencerminkan hala tuju baharu FINAS dalam menghasilkan kandungan yang berkualiti untuk dieksport, menjadikan industri filem sebagai nadi ekonomi kreatif dan budaya negara.
FFM33 akan mempertandingkan 30 kategori anugerah dan turut mengembalikan semula kategori Anugerah Filem Dokumentari Terbaik.
FFM merupakan festival filem bertaraf nasional yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi FINAS untuk mengiktiraf kecemerlangan kualiti filem dan bakat kreatif pada tahun semasa.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekali lagi dipilih sebagai rakan strategik serta penyiar rasmi malam anugerah ini.
FINAS turut mengalu-alukan kerjasama dan peluang penajaan daripada pelabur, penaja, syarikat produksi, syarikat korporat, syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) serta lain-lain untuk menjadi sebahagian daripada festival berprestij ini.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi FFM33, https://ffm.finas.my atau hubungi Noorzillawati Yahya (penyertaan) melalui penyertaanffm33@finas.my atau 03-41041354 dan YM Ts. Raja Mohammad `Adhzim Raja Ahmad (penajaan) melalui penajaanffm@finas.my atau 03-41010471.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman bin Nik Husin; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib dan ahli-ahli perbadanan FINAS.