
KUALA LUMPUR : Siri Konsert Rock On 40 diteruskan dengan penampilan kugiran ikonik rock lagenda, Search yang akan menjadi tumpuan seterusnya di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), pada 4 Disember 2022.
Search mengumumkan persembahan mereka selepas majlis menandatangani kontrak ringkas yang diadakan di pejabat Menara Network pada 6 Oktober lalu.
Mengulas lanjut berkenaan konsert ini, Datuk Amy selaku vokalis Search berkata, bagi mengabadikan sejarah yang pernah dilakar, Search akan berkongsi pengalaman menerusi Konsert Search Rock On 40 yang bakal berlangsung pada 4 Disember ini.
“Di konsert ini kami akan mengimbau kisah bermulanya kami di Kuala Lumpur dan bagaimana Search merubah landskap baharu dalam dunia rock & roll,” kata Amy.

Menjanjikan persembahan yang berbeza dari konsert-konsert sebelum ini, Amy berharap peminat-peminat rock dapat menghadirkan diri bagi menyaksikan persembahan mereka itu nanti. Search mahu mengimbau semula nostalgia dengan menyanyikan kembali rangkaian lagu yang kerap didendangkan pada awal penubuhan Search sekitar empat dekad lalu.
Menurut penganjur konsert Rock On 40, Menara Network Sdn Bhd, Datuk Ab Razif Asmuni, “konsert ini adalah sambutan untuk merakamkan perjalanan dan perkembangan muzik rock Malaysia sejak empat dekad lalu. Persembahan mega ini menandakan permulaan siri konsert rock kami yang akan diteruskan pada tahun depan dengan jelajah ke seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Singapura,” katanya.

Razif juga membayangkan bahawa persembahan selama tiga malam di Istana Budaya, Kuala Lumpur akan membawa penonton kembali ke zaman kegemilangan muzik rock Malaysia dan dapat melihat rockstar itu menyampaikan lagu-lagu hits yang jarang mereka bawa di kebanyakan konsert.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi, Menara Network Sdn Bhd, Aman Ali berkata, konsert Rock On 40 telah bermula pada pada 2 dan 3 Disember yang menampilkan penyanyi hebat genre muzik ini, Man Kidal, Datuk Awie, Muss, Riz Halim dan Ella sebelum penampilan Search di acara kemuncak konsert pada 4 Disember seterusnya menjadi pelengkap kepada siri Rock On 40.

Tiket berharga RM168, RM238, RM288, RM388, RM488 dan VVIP Box pada RM2,500 untuk sesi meet and greet.
Maklumat pembelian tiket boleh didapati dengan melayari laman sesawang menaranetwork.com. Butiran lanjut mengenai konsert dan juga urusan pembelian tiket, boleh terus menghubungi talian hotline Menara Network di nombor yang telah disediakan ini. 019-9729288, 019-8879288 dan 019-4519288.