November 13, 2024

PORT DICKSON : Purplebind merupakan satu jenama yang membawa program Kempen Kesedaran Kesihatan kepada masyarakat. Kempen yang dianjurkan oleh Pertubuhan Jalinan Jiwa Insan Malaysia (PERJJIM) ini telah membawa bersama rakan-rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin turut serta memberikan khidmat kepada masyarakat. 

Menurut penasihat Pertubuhan Jalinan Jiwa Insan Malaysia (PERJJIM), Hajjah Khalijah Binti Mohamed, Purplebind adalah kempen memupuk kesedaran tentang kesihatan yang ingin diterapkan kepada semua lapisan masyarakat.

Beliau juga akan meneruskan jelajah Kempen Kesedaran Kesihatan ini ke daerah-daerah yang lain dengan matlamat untuk mengembalikan semula aktiviti komuniti masyarakat sihat. 

“Ini adalah kempen Purplebind jelajah pertama yang diadakan di sini (Port Dickson), yang mana kita akan pergi ke semua daerah di Negeri Sembilan dan penutup akan diadakan di Seremban yang akan melibatkan lagi ramai peserta.

“Kita juga akan menggandakan kempen ini untuk menggalakkan belia-belia menyertai bersama kami kerana saya lihat golongan belia ini kurang cakna tentang kesihatan.” Kata Khalijah.

Melalui kempen ini, Persatuan Ziarah Sahabat Kanser (PZSK) dan juga Malaysian Health Association (MyHeart) telah menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Selain itu, terdapat juga pihak korporat dan individu yang telah sudi membuat sumbangan melalui kempen ini.

“Segala sumbangan telah kami serahkan kepada golongan yang terdiri dari anak-anak yatim, warga emas, pesakit kanser dan juga golongan asnaf.” Ujarnya.

Pihak PERJJIM menyantuni anak-anak kecil di sepanjang program tersebut

Terdahulu, program yang telah berlangsung di Jalan Pantai, Port Dickson pada 28 Ogos lalu juga bagi menyantuni sempena bulan kemerdekaan. program ini turut menyaksikan penyertaan masyarakat berbilang kaum melalui aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.

Pelbagai bentuk aktiviti riadah yang dijalankan antaranya senaman Tai-chi yang diketuai oleh Tai-Chi Sifu Seremban dan juga senamrobik yang dikendalikan oleh Vfit Studio. Ini adalah bertepatan dengan matlamat utama program yang memberikan pendekatan tentang penjagaan kesihatan secara tradisi dengan bersenam selain daripada penjagaan makanan. 

Program ini diteruskan dengan menyantuni golongan warga emas, anak-anak yatim serta pesakit kanser yang berada di Port Dickson. Seramai 70 orang anak-anak yatim dan 30 orang warga telah menerima sumbangan berupa barangan keperluan melalui program ini. Manakala seorang pesakit kanser tahap 4 yang telah dikenal pasti juga turut disantuni melalui konvoi ziarah berbasikal untuk menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan, ubat-ubatan dan wang tunai bagi mengurangkan beban perbelanjaan pesakit. 

Selain konvoi berbasikal dari Pantai Batu 1 ke Teluk Kemang, kaunter saringan pemeriksaan kesihatan percuma juga telah disediakan di sepanjang program ini berlangsung. 

Program ini juga telah mendapat sokongan dan kerjasama penuh daripada Jabatan Belia & Sukan, Port Dickson serta Exco jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan Dan Intergrasi Nasional Negeri Sembilan. Turut memberikan kerjasama adalah agensi-agensi kerajaan antaranya Jabatan Kesihatan Daerah Port Dickson dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Port Dickson. 

PERJJIM menyampaikan sumbangan kepada wakil penerima