“Perjumpaan Ahli Mesyuarat Tingkap” Dedah Konsert Ulang Tahun MASDO

KUALA LUMPUR, 1 Mei 2025 – Kugiran retro moden terkenal tanah air, MASDO, meraikan satu dekad perjalanan seni mereka dalam industri muzik dengan sebuah majlis istimewa dan pengumuman yang mengejutkan para peminat.

Majlis bertemakan “Perjumpaan Ahli Mesyuarat Tingkap” berlangsung penuh meriah pada malam 30 April 2025 di Saloma, Kuala Lumpur, dengan kehadiran lebih 200 peminat setia serta wakil media.

Petunjuk Awal di Media Sosial

Spekulasi mula tercetus beberapa hari sebelum acara apabila ahli kumpulan MASDO — Ali Sariah, Asmawi, dan Putu Ceri — memuat naik hantaran kriptik di Instagram masing-masing. Teka-teki ini akhirnya terjawab dalam perjumpaan eksklusif tersebut.

Persembahan Eksklusif Penuh Nostalgia

Sebagai penghargaan buat para peminat, MASDO mempersembahkan mini showcase yang mengimbau kenangan dengan lagu-lagu hits mereka seperti “Dinda”, “Lautan Asmara”, “Janji Manis”, “Bunga”, dan “Berchanda di Malam Indah”. Persembahan ini menghidupkan suasana dan membuat hadirin turut sama menyanyi.

Konsert ‘Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun’ Diumumkan

Kemuncak majlis menyaksikan pelancaran poster rasmi konsert ulang tahun ke-10 MASDO dengan penuh simbolik – kain penutup pada bangunan MATIC ditarik turun diiringi letupan bunga api.

Konsert istimewa bertajuk “Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun”, anjuran Hitman Solutions, bakal diadakan pada 30 Ogos 2025 di Idea Live Arena KL @ 3 Damansara — lokasi konsert terbaru di Malaysia yang menampilkan MASDO sebagai artis pertama membuat pengumuman rasmi di sana. Dengan kapasiti sehingga 7,000 penonton, konsert ini menjanjikan pengalaman lebih intim dan berkesan buat para peminat.

Tiket Rockzone Early Bird ditawarkan pada harga RM128 mulai 30 April hingga 1 Mei, manakala jualan umum akan dibuka dengan harga Rockzone (Free Standing) RM148 dan Cat 1 (Free Seating) RM198.

Hitman Solutions Terajui Penganjuran

Konsert ulang tahun ini dibawakan oleh Hitman Solutions, penganjur berpengalaman lebih 15 tahun dalam penganjuran konsert tempatan dan antarabangsa. Menurut Rohit Rampal, CEO dan Pengasas Hitman Group:

“Kami berbangga dapat meraikan MASDO yang telah mencipta impak besar dalam industri muzik tempatan. Ulang tahun ke-10 ini bukan sekadar konsert — ia adalah penghormatan kepada legasi dan sokongan luar biasa daripada peminat mereka.”

Kerjasama Strategik

Konsert ini turut mendapat sokongan padu daripada Warner Music, Kugiran Masdo Empire (Pengurusan Artis), Saloma Kuala Lumpur (Venue Rasmi), serta rakan media rasmi seperti ERA, Sinar, Gegar, dan Astro Gempak.

Maklumat Lanjut

Untuk perkembangan terkini dan pembelian tiket, peminat boleh mengikuti laman sosial rasmi MASDO (@kugiranmasdo) dan Hitman Solutions (@hitmansolutions), atau hubungi +6012-265 5783 / co******@****an.group.