May 18, 2024

KUALA LUMPUR – Sejak awal kemunculannya lagi beberapa tahun lalu, penyanyi berbakat besar Meer Nash sudah mencuri perhatian pencinta muzik tempatan.

Dengan imej serta gaya persis bintang K-Pop dan mampu bertutur serta menyanyi dalam Bahasa Mandarin yang fasih, Meer Nash mampu menempatkan dirinya di kalangan bintang-bintang baharu yang lebih menyerlah.

Kini, beliau kembali dengan sebuah lagi karya hebat berjudul ‘Permata’. Lagu yang dicipta dan ditulis oleh Senna ini disusun oleh Afiq Aiman dan diterbitkan oleh Kharisma Music.

Meer Nash

‘‘Permata’ adalah sebuah balada yang indah, dan siapa yang mengenali saya pasti tahu bahawa saya memang peminat lagu-lagu bergenre sedemikian. Saya memang jatuh cinta pandang pertama dengan lagu ini sebaik sahaja mendengar demo asal yang diberikan.

Selain melodinya yang indah, liriknya juga sangat menyentuh hati. Malah, lagu ini mampu mengingatkan kita supaya menghargai orang yang kita sayangi kerana kita tidak tahu berapa lama mereka akan berada di dunia ini,” jelasnya tentang karya ini.

Menurutnya lagi, lagu ini terpaksa dirakam dua minggu selepas diterima, lantas ada sedikit tekanan untuk menyiapkannya.

“Apatah lagi saya belum ‘masak’ dengan selok-belok lagu ini. Dan sewaktu rakaman saya berasa gugup kerana ramai yang memerhati sampai saya rasa kurang yakin. Lagu ini menuntut kemahiran serta cara pernafasan yang betul. Malah emosi saya terganggu dan saya sempat terhenti serta menangis seketika sewaktu rakaman. Saya merakam sebanyak dua kali kerana emosi lagu ini sukar untuk disampaikan,” ujarnya lagi.

Semestinya, lagu ini turut hadir dengan sebuah video muzik yang menarik.

“Saya sangat teruja kerana kali ini ibu saya turut membuat kemunculan dalam video muzik tersebut. Malah saya dapat rasakan perasaan gugup yang dihadapi ibu saya sewaktu proses penggambaran. Namun ia babak comel yang takkan dapat saya lupakan walaupun proses penggambaran memakan masa sehingga 15 jam,” ulasnya tentang video muziknya.

Meer Nash bersama ibunya

Namun terdapat beberapa cabaran sepanjang proses menyiapkan video muzik. Sewaktu ditanya tentang harapan buat lagu ini Meer Nash berharap karya ini boleh menjadi peringatan buat semua.

“Sekiranya ada yang bersengketa dengan keluarga, bolehlah cuba untuk berbaik-baik semula supaya tidak menyesal di kemudian hari. Semoga para pendengar dapat merasai apa yang saya rasa semasa merakam karya penuh emosi ini, saya juga ingin mungucapkan selamat hari ibu pada semua ibu di dunia.” bingkasnya mengakhiri bicara.

Meer Nash juga bakal beraksi di pentas Big Stage musim ke 5. Jangan lupa untuk saksikan kemuculannya dikaca televisyen anda.

Permata boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music, manakala music videonya pula boleh ditonton di laman YouTube Meer Nash.