January 15, 2025

KUALA LUMPUR – Pelantun lagu Forte Adami Hairi telah dikatakan merajuk dan pernah mendiamkan diri buat seketika daripada industri muzik tanah air. Beliau yang pernah muncul dengan single berjudul Legato sebelum ini meneruskan perjalanan karier seninya meskipun beliau masih lagi kurang dikenali seperti barisan artis yang seangkatan dengannya.

Menurut Adami, beliau masih lagi aktif bernyanyi dan menerima undangan nyanyian seperti biasa namun beliau dikatakan mendiamkan diri bukanlah disebabkan merajuk dengan bidang yang diminati semenjak kecil lagi tetapi beliau sibuk menghasilkan material baharu untuk dihadiahkan kepada peminat.

Kini beliau telah meluncurkan single terbaharu berjudul Angauku Mekar hasil ciptaan komposer berbakat, Faez Farhan dan lirik dinukilkan bersama Iman Zain. Walaupun Adami pernah meliriskan single lagu Forte dan Legato namun untuk tahun 2023, Angauku Mekar menjadi taruhan terbaharu Adami yang berbeza genre dengan lagu-lagu beliau sebelum ini.

Angauku Mekar adalah buah tangan dari saya untuk tahun ini tetapi kali ini saya membawakan lagu ciptaan dari komposer faez farhan dan juga Iman zain, genre yang agak berbeza dari single sebelum ini dan tentulah ianya mengikut aliran pendengar di era masa kini. Lagu ini juga berentak catchy serta mudah didengari oleh semua golongan, “ katanya.

Ditanya tentang keberadaanya dalam industri muzik tanah air, Adami berkata, “saya masih lagi aktif dan pernah beberapa tahun ini kurang menyerlah bukan bererti saya merajuk dengan industri, tapi untuk show masih berjalan seperti biasa…cuma saya fokus dengan tugasan kerja hakiki.

“Menyanyi ini adalah minat dan hobi buat masa ini tetapi jika di media sosial pelbagai aktiviti saya akan kongsi bersama pengikut-pengikut saya, mereka yang sering mengikuti perkembangan saya sahaja yang akan tahu.

“saingan dalam industri sekarang pun terlalu ramai, namun bagi pendapat saya citarasa pendengar berbeza-beza dan saya sentiasa percaya pada rezeki,” jelasnya lagi.

Untuk single terbaharu ini, Adami tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi namun cukuplah Angauku Mekar mendapat tempat di hati pendengar seperti lagu-lagunya sebelum ini dan beliau juga berharap dapat diterima oleh semua peminat dan penggemar muzik masa kini.

Angauku mekar sebuah lagu berentak pop mengisahkan tentang seorang lelaki yang bertemu dengan seorang wanita dalam hidupnya. Kebahagiaan dalam hidupnya dikecapi seperti orang lain namun semua itu hanyalah mainan mimpinya sahaja.

“Lagu ini sebenarnya diperap lama oleh pencipta lagu ini sehinggalah saya mendapat tawaran untuk merakamkan lagu ini. Saya merasakan melodi lagu ini begitu dekat atau ‘kena’ dengan jiwa saya. Alhamdulillah, segala proses rakamannya juga berjalan lancar,” ujar Adami lagi.

Angauku Mekar kini telah berada di semua digital platform dan video lirik rasmi lagu ini juga telah berada di saluran Youtube Green House Studio.

Adami Hairi – Angauku Mekar (Official Lyric Video)