September 8, 2024

KUALA LUMPUR – Tiada penyingkiran diumumkan pada Peringkat Suku Akhir Pertama Bintang RTM 2024 yang menyaksikan kesemua 14 peserta bakal mara ke peringkat seterusnya minggu hadapan. Kesemuapeserta tampil menyerlah dan menonjolkan kehebatan vokal masing-masing di pentas nyanyian yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, Kota Media, Sabtu lalu.

Peserta berasal dari Kuching, Sarawak Roziena Ixzy, 26, berjaya menambat hati juri dengan persembahan lagu ‘Fallin’ sekaligus dipilih peserta terbaik bagi minggu pertama konsert Bintang RTM 2024.

Persembahan 13 peserta lagi tidak kurang menghiburkan dan mendapat pujian barisan juri tetap terdiri daripada LY, Datuk Syafinaz Selamat dan Raja Sham. Ernie Zakri juara Bintang RTM 2009 pula dijemput selaku juri jemputan dan muncul sebagai pembuka pentas dengan mendendangkan lagu berjudul ‘Masing-Masing’.

Untuk minggu pengenalan ini, Hady Huv yang menyampaikan lagu ‘Terlalu Istimewa’ dapat menarik nafas lega apabila juri memuji ton suara dimiliki jejaka berusia 21 tahun ini. Namun pemilik nama sebenar Muhammad Hadi Hafsham ini perlukan lebih latihan vokal dan fizikal. 

Seterusnya peserta termuda, Dhania pula menguasai pentas dengan mempertaruhkan lagu ‘Drama’, nyanyian asal Drama Band. Keyakinan diri ditonjolkan gadis berasal dari Papar, Sabah ini disukai barisan juri dan melihat potensi yang sangat besar daripada seorang remaja berusia 16 tahun.

Peserta berambut panjang, Joy membuat percaturan berani menyampaikan penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza menerusi lagu ‘Diari Hatimu’. Joy berjaya membawakan dengan caranya yang tersendiri dan memberikan emosi pada lagu tersebut.

Kemunculan Feka dengan lagu ‘Kata’ seolah memberikan nafas baru pada lagu ini ditambah dengan keyakinan diri. Kekuatan tersendiri diperlukan Feka untuk terus berada dalam pertandingan ini.

Tidak dinafikan kemuculan Eylia Guntabid antara yang berjaya memukau penonton. Menyerlah dengan pilihan lagu ‘It’s All Coming Back To Me Now’, juri mengakui lagu dipilih Eylia sesuai dengan vokal suara dan berharap dapat mengekalkan momentum yang ada pada peringkat seterusnya.

Persembahan peserta kecil molek, Akma Natasha juga mendapat pujian juri dengan lagu ‘Jagalah Diri’ nyanyian asal Jaclyn Victor. Akma memiliki pitching dan key suara yang bagus. Persembahan disampaikan Akma sederhana tetapi menarik untuk ditonton.

Sementara itu nyanyian lagu ‘Sumpah’ berjaya dibawakan peserta dari Alor Star, Kedah iaitu Azumi dengan penuh penghayatan tersendiri. Kelebihan suara serak basah dimiliki Azumi pastinya menjadi kelebihan kepada beliau untuk terus menonjol dalam pertandingan ini.

Peserta yang mahu disapa sebagai Noy turut memukau dengan lagu rancak, ‘Seksis’. Begitu juga Shah Rezza yang menyampaikan lagu bertajuk ‘Kepada Hati’ dengan caranya yang tersendiri dimulai dengan monolog di awal persembahan.

Empat lagi peserta Harris menyampaikan lagu ‘Bagaimana Kalau Aku Tidak Baik-Baik Saja’, Scha Nuril lagu ‘When We Were Young’, Jon lagu ‘Biar Saja’, dan Zizi Safira lagu ‘Purnama Merindu’,

Menampilkan hos Awal Ashaari, pertandingan ini disiarkansetiap Sabtu, pukul 9.00 malam disiarkan secara langsung melalui TV2. Siaran langsung ini juga boleh diikuti secara dalam talian melalui RTMKlik (www.rtmklik.rtm.gov.my) dan radio rasmi BRTM 2024 adalah NASIONALfm.