July 14, 2024
spider keluar sarang

Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024. Begitu nama konsert yang telah ditunggu sekian lama bukan hanya dalam kalangan peminat tetapi kugiran rock dan ska tanah air ini sendiri.

Memilih tanggal 22 Jun 2024, Zepp Kuala Lumpur akan menjadi saksi rendisi lagu terbaik Spider seperti Kasih Latifah, Cinta Dewa Dewi, Aladdin, Laukku Cukup Masin, dan Nazraku dilantunkan dengan ‘gila’ dalam Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur.

Tentu sahaja membayangkan kelincahan Juara Lagu 2004 menerusi lagu Relaku Pujuk dan lagu-lagu yang akan dipersembahkan sudah cukup membuat peminat teruja. 

Sementelah kugiran yang diasaskan di Johor Bahru ini bukan pemain baharu dalam belantika muzik. Spider adalah salah satu kugiran legenda tanah air yang penuh karya sinis dalam stail tersendiri.

Spider dengan album-albumnya termasuk yang perdana, Ngam Ho dan terakhir, Ankabut yang lahir pada tahun 2016 sudah mencetak pelbagai sejarah sekaligus menjadi kugiran rujukan sepanjang hampir 30 tahun berkarier.

Justeru Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024 yang bakal berlangsung di Zepp KL pada 22 Jun 2024 disifatkan sebagai perjalanan panjang yang layak dinikmati bersama saat ia ‘keluar sarang’.

Selaku penganjur, pihak IFIX Entertainment juga optimis Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024 akan mencipta sensasi tersendiri di sebalik para penggeraknya.

“Secara jujurnya pihak IFIX Entertainment sudah lama mengikuti perjalanan karier Spider. Spider adalah kugiran legenda yang bukan hanya memberi hiburan kosong tetapi banyak maksud tersirat dalam karya mereka.

“Karya-karya yang dilahirkan Spider cukup tersendiri menjadikan mereka sebagai kugiran rujukan buat generasi masa kini yang mahu mencipta aliran muzik seumpama Spider.

“Walaupun sepanjang hampir 30 tahun Spider hanya memiliki enam album studio penuh tetapi daripada setiap album yang terhasil, mereka punya banyak hit atau lagu popular yang diminati ramai.

Sudah sekian lama mengidamkan sebuah konsert solo, Tam menyifatkan persetujuan di antara Spider dan IFIX Entertainment dapat dicapai dengan baik kerana konsep dan misi yang dibawa.

“Setelah banyak terlibat dengan persembahan-persembahan di festival atau gig kecil usai pandemik, Spider melihat ini adalah masa yang tepat untuk kami ‘keluar sarang’.

“Konsep ‘keluar sarang’ yang dicapai bersama IFIX Entertainment menjadi pertaruhan kami kerana peminat sedia maklum sudah cukup lama Spider tidak beraksi di pentas dalam konsert berskala besar.

“Tentu saja Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024 akan menjadi medan tempur paling kecoh pernah dianjurkan,” ujar Tam.

Tiket-tiket Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur dijual pada harga RM179 sehingga RM259 yang boleh dibeli menerusi tapautix.asia.

Harga tiket: RM159 (Aladin), RM199 (Mungkinkah Terjadi) RM259 (Relaku Pujuk) dan untuk tiket VIP boleh hubungi 0192222192 atau emel ifixentertainment23@gmail.com.