December 6, 2023

KUALA LUMPUR : Menggelarkan diri mereka sebagai Ustaz 3 Beradik, pendakwah terkenal iaitu Ustaz Zarifi, Ustaz Hariri dan Ustaz Ihsan sentiasa aktif dalam industri nasyid. Adik-beradik ini telah berjaya menghasilkan beberapa single berbentuk nasihat dan kekeluargaan sejak beberapa tahun yang lalu .

Sering muncul dalam rancangan agama seperti Halaqah TV3, Tanyalah Ustaz TV3, Forum Perdana TV1, Assalamualaikum TV Alhijrah dan lain-lain program agama membuatkan mereka tertarik untuk mencari kelainan selain bidang pengacaraan mahupun tetamu bual bicara. Mereka bersepakat menjadikan seni hiburan satu medium untuk mereka berdakwah melalui lagu-lagu berbentuk kerohanian.

Terbaharu, mereka telah meluncurkan single yang berjudul Masihkah Tuan Ingat?  hasil ciptaan komposer muda berbakat besar, Fadzli Fareast dan Hazalinda Harun. Menariknya, Ustaz 3 Beradik telah menyampaikan lagu ini buat pertama kali secara langsung di Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-62 (MTHQA) baru-baru ini, di Dewan Plenari, Kuala Lumpur Convention Center (KLCC). 

“Lagu Masihkah Tuan Ingat? ini kami persembahkan eksklusif secara ‘live’ dan ini kali pertama lagu ini kami bawa untuk diperdengarkan kepada umum dan juga penonton MTHQA malam tadi,” kata Zarifi merangkap abang sulong kepada dua beradiknya itu.

Ustaz 3 Beradik pertama kali menyampaikan lagu Masihkah Tuan Ingat?

Lagu ini adalah percubaan terbaharu mereka untuk mengetengahkan konsep muzik yang berbeza tidak seperti lagu-lagu mereka sebelum ini. Masihkah Tuan Ingat? telah menyerlahkan kematangan Ustaz 3 Beradik dalam dunia muzik nasyid. 

Menurut Zarifi lagu Masihkah Tuan Ingat? sarat dengan mesej yang mengajak masyarakat untuk belajar, membaca dan memahami Al-Quran. Pesanan yang beradab dalam lirik penuh kelembutan menjadikan lagu ini senang didengari hinggakan menusuk ke kalbu. Lagu ini juga menyelitkan penghargaan buat guru-guru yang mengajar kitab kalam suci Al-Quran.

“Tinjauan di Facebook dan media sosial, ramai yang memberikan maklum balas positif kepada lagu terbaharu ini, antara lain sebagai tribute penghargaan kepada para guru Al-Quran yang mengajarkan Al-Quran. kami juga terharu dan tidak menyangka peminat menerima lagu ini walaupun pertama kali diperdengarkan.” Katanya.

Terdahulu, Majlis Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-62 (MTHQA) telah berlangsung pada 19 hingga 24 Oktober 2022 bertempat di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) dan disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM1 bermula dari jam 8.45 malam hingga 11.30 malam.

“Semoga lagu baharu ini, akan mencetus semangat untuk membaca dan memahami Al-Quran”, ujar Ustaz Zarifi ketika ditemui pemberita.

Persembahan Ustaz 3 Beradik yang menyampaikan lagu Masihkah Tuan Ingat? secara ‘live’ boleh ditonton di laman Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Ustaz 3 Beradik.  

Ustaz 3 Beradik membuat persembahan di MTHQA, KLCC