PULAU PINANG : Selepas sambutan luar biasa peminat kopi kepada Pesta Kopi KL, Pesta Kopi Melaka dan Pesta Kopi Extended, sekali lagi Pesta Kopi kembali atas permintaan ramai. Kali ini Pesta Kopi akan dibawa ke syurga makanan Utara, Pulau Pinang.
Diberi nama Pesta Kopi Penang, acara yang kali pertama diadakan di Pulau Pinang ini akan berlangsung pada 10 dan 11 Disember ini bertempat di Hin Bus Depot, Georgetown. Ia dianjurkan bersama oleh Tempatan Fest dan Rasta Brew Co. dengan sokongan Hin Bus Depot sebagai lokasi rasmi serta Sekolah Kopi sebagai rakan strategik.
Acara kali ini juga turut mendapat sokongan dari Tourism Malaysia sebagai sebahagian dari acara Cuti-Cuti Malaysia.
Lebih 45 usahawan kopi tempatan dari seluruh negara serta antarabangsa akan mengambil bahagian untuk edisi kali ini yang akan memperkenalkan pelbagai produk kopi jenama tempatan serta luar negara. Perhimpunan para usahawan kopi ini pastinya akan menarik minat para penggemar kopi serta menyemarakkan budaya komuniti kopi Malaysia.
Acara ini pastinya akan membawa ‘coffee culture’ kepada peminat kopi di Utara. Pengunjung bukan sahaja dapat menikmati pelbagai produk kopi yang dijual, malah mereka juga dapat melihat sendiri demonstrasi pelbagai cara penyediaan kopi, cara menyeduh dan memilih biji kopi serta bengkel memanggang biji kopi.
Turut bersama memeriahkan acara Pesta Kopi Pulau Pinang ini adalah beberapa pengusaha makanan jalanan serta penampilan istimewa kumpulan Jahvallion dan Aru Peruzza yang akan membuat persembahan di hari acara.
Pesta Kopi Pulau Pinang ini pastinya tidak dapat dilaksanakan tanpa sokongan F&N Magnolia sebagai penaja utama dan juga Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Tandakan kalendar anda pada 10 dan 11 Disember 2022 ini. Alami sendiri kemeriahan Pesta Kopi Pulau Pinang.
Terdahulu, acara Pesta Kopi ini merupakan salah satu acara yang dianjurkan oleh Tempatan Fest dan syarikat perusahaan kopi Rasta Brew Co. Tempatan Fest merupakan sebuah syarikat pengurusan acara dan jenama yang memberi fokus kepada usaha menaikkan jenama-jenama usahawan lokal sejak 2010 dan diasaskan oleh Encik Seir Rashid.
Rasta Brew Co. yang diasaskan sejak 2016 oleh Encik Sharizal Shamsuddin atau lebih dikenali sebagai Rizal Rasta yang mempunyai 20 tahun pengalaman dalam industri hospitaliti dan makanan. Rasta Brew Co. ditubuhkan dengan objektif untuk menyebarkan pengetahuan yang lebih baik tentang industri kopi.