January 14, 2025

KUALA LUMPUR – Selepas sambutan luar biasa peminat kopi di 3 acara Pesta Kopi tahun lalu, Pesta Kopi Pulau Pinang, Pesta Kopi Melaka dan Pesta Kopi Extended, Pesta kopi kini kembali semula ke Kuala Lumpur tempat di mana semuanya bermula. Pesta Kopi Kuala Lumpur 2023 kali ini akan diadakan pada 4 dan 5 Mac 2023 bertempat di Lanai Matic, Pusat Pelancongan Malaysia, Jalan Ampang.

Kali terakhir Pesta Kopi Kuala Lumpur telah diadakan pada bulan Disember 2021.

Pesta Kopi yang akan menggabungkan elemen budaya dan pelancongan ini mendapat kerjasama istimewa dari Pusat Pelancongan Malaysia (Matic).

Lebih 70 usahawan dari seluruh negara akan mengambil bahagian untuk edisi kali ini dimana lebih 80% darinya merupakan jenama kopi tempatan. Di hari acara tersebut, selain kopi terdapat juga makanan ringan serta manisan istimewa yang akan dijual sesuai buat penggemar kopi.

Penganjur Pesta Kopi Kuala Lumpur 2023, Seir Rashid ketika menjawab soalan wartawan

Acara ini pastinyamampu menggamit minat para pencinta kopi di seluruh Lembah Klang. Pengunjung bukan sahaja dapat menikmati pelbagai produk kopi yang dijual, tetapi dapat melihat sendiri demonstrasi pelbagai cara penyediaan kopi, cara menyeduh dan memilih pelbagai jenis biji kopi serta pertandingan seni latte yang akan dikendalikan oleh Sekolah Kopi iaitu sebuah komuniti yang mendidik orang ramai tentang pengendalian serta pelbagai cara penyediaan kopi.

Jika sebelum ini, Pesta Kopi lebih menekankan tentang budaya keusahawan kopi dan kerancakan minat orang ramai terhadap kopi, tetapi dengan kerjasama bersama Pusat Pelancongan Malaysia, ianya diharapkan dapat meraikan serta menyedarkan orang ramai tentang tingginya potensi ‘Pelancongan Kopi’ atau ‘Coffee Tourism’ dimana peminat-peminat kopi pergi dari satu destinasi ke destinasi untuk menikmati keistimewaan kopi di seluruh Malaysia, sekaligus merancakkan industri pelancongan domestik negara melalui kopi.

Pesta Kopi kali ini diharap dapat menarik lebih ramai lagi pengunjung

Terdapat juga pelbagai aktiviti menarik sepanjang pesta berlangsung antaranya, persembahan muzik dan kebudayaan, pertandingan di antara 60 barista tentang seni latte dan pelbagai lagi.

Pesta Kopi Kuala Lumpur 2023 ini pastinya tidak dapat dilaksanakan tanpa sokongan Mister Coffee dan Magnolia Barista Milk sebagai penaja utama.

Tandakan kalender anda pada 4 dan 5 Mac 2023 ini dan alami sendiri kemeriahan Pesta Kopi Kuala Lumpur 2023.