KUALA LUMPUR, 24 Mac – Kumpulan Prasangka yang dianggotai oleh penyanyi utama Ajis Hisham dan Matt tampil dengan sebuah lagu raya penuh emosi berjudul Nun Jauh Di Sana, yang diinspirasikan daripada pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun pertama pandemik COVID-19.
Menurut Ajis Hisham, yang juga pemain gitar kumpulan itu, ilham untuk menghasilkan lagu ini tercetus ketika rakyat Malaysia hanya dibenarkan meraikan Aidilfitri selama sehari sahaja. Dalam suasana penuh tekanan akibat gelombang pandemik, lahirlah sebuah karya yang menggambarkan kerinduan mendalam terhadap keluarga, kampung halaman, dan juga Sang Pencipta.
“Lagu ini berkisar tentang rindu dalam pelbagai bentuk. Terserahlah kepada pendengar untuk menghayatinya mengikut pengalaman dan perasaan mereka sendiri,” ujar Ajis, yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam penciptaan lagu ini.

Proses rakaman lagu ini bermula pada tahun 2021, namun beberapa kali tertangguh akibat pelbagai versi PKP. Setelah menempuh pelbagai cabaran, Nun Jauh Di Sana akhirnya berjaya disiapkan sepenuhnya pada awal tahun 2024. Rakaman dijalankan di studio Dapo Rekod, Senawang, Negeri Sembilan, manakala proses adunan dan mastering disempurnakan oleh Areef Iskandar.
Dengan membawa konsep nostalgia lagu-lagu raya era 80-an, Prasangka berharap lagu ini dapat diterima oleh peminat muzik tanah air. “Kami masih tidak boleh ‘move on’ dengan suasana lagu-lagu raya lama, jadi kami ingin menghidupkan kembali kehangatan dan kemeriahannya melalui Nun Jauh Di Sana,” tambah Ajis.
Bukan sekadar lagu raya biasa, Nun Jauh Di Sana hadir dengan sentuhan klasik yang menggamit kenangan dan membawa pendengar menyelami makna sebenar kerinduan serta kebersamaan di musim perayaan.
Lagu ini diedarkan secara digital oleh Luncai Emas dan telah dimuat naik ke seluruh pelantar digital sejak 21 Mac lalu. Dengan harapan dapat menarik minat generasi muda serta mendapat tempat di media radio, Prasangka optimis lagu ini akan menjadi salah satu lagu raya pilihan tahun ini.