March 2, 2024

KUALA LUMPUR – Pentas mencungkil bakat vokal terbaik dan versatil dalam bidang nyanyian, “Bintang RTM 2024” kini kembali dengan memperkenalkan barisan peserta terbaik dipilih daripada seluruh negara.

Tahun ini program terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil membawa konsep hiburan yang lebih segar. Penganjuran Bintang RTM 2024 ini sebagai meneruskan legasi pencarian bintang dalam seni suara setelah kali terakhir diadakan tahun 2018 lalu yang menobatkan Hariz Fayahet sebagai juara.

Sebagai permulaan saksikan perjalanan peserta-peserta ini dalam persediaan bergelar seorang bintang menerusi “Prelude Bintang RTM 2024” disiarkan pada 6 Januari ini, pukul 9.00 malam di TV2. Siaran langsung ini juga boleh diikuti secara dalam talian melalui RTMKlik (www.rtmklik.rtm.gov.my) dan NASIONALfm sebagai radio rasmi Bintang RTM 2024.

Dalam siaran prelude ini, peserta didedahkan dengan pelbagai cabaran dan rintangan dalam dunia seni yang sebenar. Peserta akan menghadiri kelas motivasi, kelas senaman, kelas vokal, kelas irama Malaysia, dan sukaneka. Ada juga aktiviti santai di tasik dan sesi uji bakat Top 16.

Saksikan bagaimanakah peserta yang telah dipilih oleh pihak penerbitan antaranya Akma Natasha, Nuhammad Zulfeka (Feka), Nurul Maimanah (Nana), Mohd Azumi Shazani (Azumi), Siti Erinshahira (Erin Shahira), Sharifah Nurilmuhayati (Nuril), dan Muhammad Hadi Hafsham (Hady Huv).

Begitu juga aksi peserta Muhammad Harris Mukhriz (Harris), Muhammad Shahrezza (Shah Rezza), Roziena Ixzy (Roxy Ixzy), Elliza Suezina (Liz), Mohd Enrien Syah (Jon), Dayang Irsyadhania (Dhania), Mohammad Said Suhazrie (Joy), Eylia Eyre Guntabid (Eylia Guntabid) dan Nur Shahirah (Noy).

Peserta yang melepasi uji bakat terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat sekaligus membuktikan Bintang RTM mempunyai pengikut yang tersendiri. Penglibatan generasi muda dalam Bintang RTM menunjukkan mereka masih percaya keupayaan RTM dalam melahirkan bakat–bakat hebat untuk industri suara negara.