KUALA LUMPUR, 26 Februari 2025 – Dengan semangat keprihatinan dan syukur, program Kongsi Rezeki: Infaq Ramadan 2025 kembali lagi tahun ini dengan matlamat membantu 1,000 golongan asnaf termasuk anak-anak tahfiz, pesakit kanser kanak-kanak, penghuni rumah orang tua, dan gelandangan. Program amal tahunan ini dianjurkan bersama oleh team Kongsi Rezeki dengan penaja utama, SoftRein dan Biofitrah Sdn. Bhd., sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial untuk menyemarakkan semangat kebersamaan di bulan Ramadan.

Menurut selebriti dan pempengaruh terkenal, Putera Amaris, ini merupakan tahun kelima program Kongsi Rezeki: Infaq Ramadan diadakan. Beliau menyatakan bahawa cabaran dalam menganjurkan program ini tidak mematahkan semangat mereka untuk terus membantu golongan memerlukan.
“Alhamdulillah, ini tahun kelima program ini dijalankan. Cabaran memang ada, tetapi kami anggap itu sebagai ujian dalam melakukan kebaikan. Tahun ini, sasaran kami adalah membantu anak-anak tahfiz, anak yatim, pesakit kanser kanak-kanak, golongan asnaf, warga emas di rumah orang tua, dan gelandangan. Semua sumbangan yang diperoleh akan terus disalurkan kepada mereka tanpa melalui pihak perantara,” kata Amaris ketika sidang media di Saloma Kuala Lumpur, semalam.

Dari kiri: Mohd Khairi Mohamed (Rakan Kongsi Saloma KL), Putera Amaris, Dr. Raja Laila Rani Mohammad Abdullah (Pengerusi The Muslim world womens summit) dan Aman Rasyidi Mohd Noor (Ketua Pegawai Operasi SoftRein)
Program bantuan untuk pelbagai golongan memerlukan
Program ini memberi tumpuan kepada penyediaan sumbangan dalam bentuk barangan keperluan harian, makanan sedia dimakan, peralatan sekolah, lampin pakai buang, susu bernutrisi, dan bantuan kewangan. Selain itu, terdapat inisiatif khusus untuk beberapa kumpulan penerima manfaat:
1. Anak-anak tahfiz:
Dana akan dikumpulkan untuk pembinaan bangunan baharu bagi Maahad Tahfiz Misbahul Falah Keramat. Sehubungan itu, majlis Tahfiz Berselawat akan dianjurkan sebagai salah satu usaha mengumpul dana melalui penjualan meja. Majlis pertama akan berlangsung pada 15 Mac 2025 di Warung Pagi Pagi, diikuti majlis kedua pada 22 Mac 2025 di Saloma, Kuala Lumpur. Kedua-dua majlis ini bakal menampilkan kumpulan nasyid terkenal, Raihan, serta tazkirah daripada ustaz-ustaz jemputan. Hasil jualan sebanyak 30 buah meja (bersamaan 300 buah kerusi) akan disalurkan terus kepada maahad tahfiz dan sebahagiannya kepada pesakit kanser kanak-kanak melalui Adina Charity Circle.
2. Pesakit kanser kanak-kanak:
Dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk menyediakan pakaian sekolah dan baju raya, selain keperluan harian seperti lampin pakai buang dan susu bernutrisi.
3. Warga emas di rumah orang tua:
Melalui kerjasama dengan Mesra Home Ampang, dana akan dikumpulkan menerusi penjualan buku “Aku Penjaga Nenek”. Hasil penjualan buku ini akan membantu penjaga rumah tersebut dalam menjaga lebih 20 orang warga emas yang tidak mempunyai waris.
4. Golongan asnaf dan gelandangan:
Seperti tahun-tahun sebelumnya, team Kongsi Rezeki bersama sukarelawan akan menyantuni asnaf di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia dengan menyampaikan 1,000 set bakul makanan, 1,000 kampit beras, makanan sedia dimakan, dan keperluan asas lain.
5. Projek infaq surau:
Dengan kerjasama team SoftRein daripada Biofitrah, projek “Infaq Surau” akan dijalankan di kawasan perumahan asnaf, khususnya PPR. Program ini bertujuan membantu membersihkan kelengkapan solat seperti sejadah dan telekung menggunakan sabun PowerRein dan SoftRein. Sasaran program ini ialah untuk menginfaqkan 1,000 sejadah ke surau-surau berkenaan serta 1,000 botol sabun SoftRein kepada keluarga asnaf di kawasan tersebut.

Platform infaq digital mudahkan sumbangan
Bagi memudahkan orang ramai untuk turut serta dalam inisiatif ini, Kongsi Rezeki telah bekerjasama dengan Today Assist, sebuah platform digital yang membolehkan sumbangan infaq dilakukan secara dalam talian. Melalui platform ini, para penderma boleh memilih rumah kebajikan yang ingin mereka bantu dan membuat pembayaran secara terus ke akaun rumah kebajikan tersebut. Inisiatif ini memastikan proses infaq menjadi lebih mudah, pantas, dan telus.
Seruan untuk orang ramai turut serta
Amaris turut menyeru rakan-rakan artis, syarikat korporat, dan masyarakat umum untuk bersama-sama menyokong program ini.
“Saya percaya jika kita semua bergabung tenaga, lebih banyak yang dapat kita bantu. Ramadan adalah bulan untuk berkongsi rezeki, dan sumbangan kecil kita mampu memberi impak besar kepada mereka yang memerlukan. Mari kita jadikan Ramadan kali ini lebih bermakna dengan memberi dan berkongsi rezeki bersama SoftRein — Wangian Inspirasi, SoftRein.”

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan atau mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari platform Today Assist atau menghubungi pihak penganjur melalui laman media sosial rasmi Kongsi Rezeki: Infaq Ramadan 2025.