KUALA LUMPUR – Tidak ada yang lebih membangkitkan nostalgia selain kembali ke masa lalu menerusi banyaknya lagu-lagu malar segar yang pernah dihasilkan oleh pengkarya hebat belantika muzik tempatan.
Maka apabila Dennsa dan Sensorhythm dengan sokongan Kementerian Komunikasi bersama Kumpulan My Creative Ventures menganjurkan Battle Of Time Exists X Masdo yang dijadual berlangsung di Dewan Merdeka, WTCKL pada 10 November 2024 pukul 8 malam, ini adalah sebuah pengalaman ‘pulang ke masa silam’ yang tidak harus dilepaskan.
Pemilihan nama Battle of Time sendiri sudah memberi indikasi transisi masa yang pernah dilalui kugiran legenda seperti Exists turut mempengaruhi perjalanan pemuzik-pemuzik generasi kini seperti Masdo.
Apabila kedua-dua nama besar yang telah mencetak kejayaan dan dipuja sehingga ke Indonesia ini bergabung di atas sebuah panggung, maka pengalaman yang akan dinikmati penonton adalah sesuatu yang tidak hanya bersifat hiburan ‘kosong’ sebaliknya akan dipenuhi dengan pengetahuan tambahan tentang hebatnya pengkarya lokal.
“Seperti yang semua sedia maklum Exists adalah sebuah kugiran legenda yang karya mereka telah didengar daripada generasi Millenial kepada generasi Alpha.
“Lagu-lagu Exists dari Oh Ibu sehingga Julia malah Langkah Seiringin yang telah dihasilkan lebih sedekad lalu kini menjadi trending di Tik Tok.
“Ini semua menjadi bukti karya Exists tidak mati ditelan zaman dan terus relevan meski era bertukar. Maka itu menjadi sebab utama kami selaku penganjur dengan bangga membawa Exists ke dalam Battle Of Time Exists X Masdo.
“Sementara buat Masdo pula tidak dapat disangkal lagi betapa aura muzik yang mereka bawakan telah menimbulkan fenomena dan gelombang tersendiri dalam kalangan penggemar muzik Nusantara.
“Lantas pemilihan Exists dan Masdo menerusi Battle Of Time Exists X Masdo adalah perkahwinan era muzik lama dan baharu yang dibawa lalu disegarkan oleh mereka untuk diperdengarkan,” ujar Dewi dari Dennsa selaku penganjur.
Memilih Dewan Merdeka, WTCKL, Battle Of Time Exists X Masdo akan menyaksikan kedua-dua kugiran ini tampil bersama untaian hit mereka yang disadur bersama penampilan dan susunan muzik baharu.
“Sebagai kugiran baharu Masdo teruja berkongsi pentas bersama Exists yang lagu-lagu mereka selalu menjadi siulan kami di waktu remaja.
“Dengan genre muzik yang sedikit berbeza tetapi tema Battle of Time yang dipilih signifikan bersama Masdo yang pekat aliran pop 60-an,” ujar Putu Ceri dari Masdo.
Nikmati Battle Of Time Exists X Masdo saat ini dalam suasana lampau dengan membeli kategori tiket dari Dia Pertama (RM159), Lempeng Twist (RM199), Anugerah Hati (RM219), Bunga Cemara (RM299), Teruna Juwita (RM399), Bidadari Pujaanku (RM599) Untukmu Puspita Royal Box (RM789).
Tiket mula dijual pada 5 September 2024 melalui myticket.com, atome. Jangan lupa tandakan kalender anda pada 10 November ini untuk merasai sendiri sebuah pengalaman ‘pulang ke masa silam’.