May 21, 2024

PUTRAJAYA : Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah diberikan amanah bagi menggerakkan lebih 2,000 orang jemaah bermunajat dan berqiamullail di Masjid Putra, Putrajaya pagi tadi, bersempena Kempen Qiamullail dan Solat Subuh Berjemaah di Masjid dan Surau Wilayah-Wilayah Persekutuan. 

JAWI melalui satu kenyataan hari ini memaklumkan program itu diadakan secara kerjasama dengan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) dan agensi hal ehwal Islam di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bermula 4.30 pagi.

Menurutnya, program siri kedua ini adalah kesinambungan program yang diadakan pada Jun lalu telah dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Katanya, pengisian utama program itu ialah qiamullail secara berjemaah telah dipimpin oleh qari selebriti Ustaz Ahmad Tirmizi Ali, beserta solat Subuh berjemaah dan penyampaian Tausiah.

Datuk Idris Ahmad bersama jemaah dalam program Qiamullail Perdana
Ustaz Ahmad Tirmizi Ali mengimamkan solat Subuh

Dalam kenyataan yang ditulis Datuk Idris dalam laman Facebook rasmi beliau, “Pemimpin perlu bersujud kepada Allah. Anggota perkhidmatan awam perlu bersujud kepada Allah. Ibu bapa perlu bersujud kepada Allah. Anak-anak perlu bersujud kepada Allah. Ia akan mendidik hati dan diri kita sebagai hamba. Kita sedar diri, Allah sentiasa Maha Melihat setiap tindakan kita. 

“Apabila saya diberi amanah memimpin Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama menggerakkan kekuatan solat dalam masyarakat adalah menjadi keutamaan.” Tulisnya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada JAWI, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) dan Masjid Putra, Putrajaya yang bertindak sebagai urusetia program. 

Sementara itu stesen TV AlHijrah yang membuka lembaran baharu dalam dunia penyiaran negara menjadi penyiar utama secara langsung program Qiamullail Perdana pagi tadi.