KUALA LUMPUR – Kejayaan filem seram Indonesia “Qodrat” melahirkan sekuel yang dinanti-nantikan, “Qodrat 2”, hasil kerjasama strategik antara Astro Shaw dan MAGMA Entertainment yang dimeterai melalui perjanjian persefahaman (MoU) semalam.
Menurut Penerbit Eksekutif Qodrat 2 merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Kami amat teruja dapat sekali lagi bekerjasama dengan MAGMA Entertainment dalam meneruskan legasi Qodrat. Kerjasama ini mengukuhkan komitmen Astro Shaw untuk membawa karya serantau yang berkualiti tinggi kepada penonton di Malaysia. Melihat sambutan baik filem Qodrat di Malaysia pada tahun 2022, kami percaya bahawa kekuatan jalan ceritanya yang dekat dan menyentuh jiwa penonton tempatan menjadi antara faktor utama kejayaan tersebut.
“Rentetan daripada kejayaan itu, kami yakin kehadiran Qodrat 2 berpotensi memberi impak yang lebih besar dengan naratif yang lebih mendalam serta elemen seram yang lebih mendebarkan. InsyaAllah, Qodrat 2 akan menemui penonton pada suku pertama tahun hadapan, jadi nantikan.”
Qodrat 2 akan membawakan kisah yang lebih mendalam dan gelap. Penonton akan dibawa mengikuti perjalanan Qodrat, seorang ustaz dalam ilmu rohani (Ruqyah) dalam usaha mencari isterinya, Azizah, yang telah menjual jiwanya kepada syaitan Asu’ala dalam usaha untuk menyelamatkan anak mereka, Alif.
Filem ini diarahkan oleh pengarah sama Qodrat, iaitu Charles Gozali. Sementara itu, turut mengembalikan pelakon uatamnya, Vino G. Bastian serta kemunculan watak baru yang dijayakan oleh Acha Septriasa, Della Dartyan, dan Dony Alamsyah.
Kerjasama ini juga bakal membuka peluang untuk projek-projek masa hadapan yang menggabungkan bakat dari kedua-dua negara. Untuk maklumat lanjut dan tarikh tayangan yang tepat akan diumumkan dalam masa terdekat.