April 20, 2024

Memenangi hati penonton dengan catatan prestasi sebanyak 7.3 juta screenview pada musim pertama, rancangan Quran@114 diteruskan untuk musim kedua secara eksklusif di TV AlHijrah.

Quran@114 musim kedua menemui penonton pada setiap hari, bermula dari jam 11 pagi hingga 12 tengah hari sebanyak 366 episod sepanjang tahun.

Istimewanya, rancangan ini bukan sekadar mengajak penonton untuk sama-sama membaca ayat-ayat suci al-Quran, tetapi penonton juga akan didedahkan dengan konsep tadabbur, tafaqquh, tazakkur, dan i’tibar.

Tadabbur merupakan proses pemikiran mendalam, penelitian dan penghayatan ayat al-Quran. Tafaqquh pula adalah proses memahami ajaran al-Quran. Manakala tazakkur adalah peringatan, nasihat serta teguran. I’tibar pula adalah pertimbangan atau kebijaksanaan dalam berfikir.

Rancangan Quran@114 ini disiarkan dengan format lima hari tadabbur, satu hari pengajian tafsir dan bahasa Arab serta satu hari pengajian tajwid & taranum dengan menggunakan kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman dan Tafsir Jalalain sebagai rujukan.

Menampilkan para asatizah yang berperanan sebagai pentadabbur seperti Dr. Shamsul Mohd Nor, Imam Muda Hassan, Prof. Dr. Sharifah Hayaati, Ustazah Isfadiah Dusuki, Ustazah Nazirah Abu Bakar, Ustaz Hariri  dan Ustaz Zarifi, penonton pastinya dibimbing agar mempunyai kefahaman menyeluruh tentang Islam.

Selain itu, para qari dan qariah seperti Tlmiz Fahmi, Ustaz Jalal Zaiki, Ustaz Fahmi Asraf, Ustaz Ammar Mukhliz, Ustaz Husaini Mahmur dan Ustazah Sofizah Mousin akan melantunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dengan lunak serta dilagukan dengan tarannum berbeza.

Quran@114 beriltizam  untuk membuka jalan dan ruang pembelajaran buat penonton untuk mendalami, memahami dan mengaplikasi  ajaran al-Quran di dalam kehidupan seharian.

Dr. Shamsul Mohd Nor sebagai contoh, memberikan dimensi ilmiah yang mendalam terhadap cara terbaik memahami al-Quran dalam konteks agama, sejarah dan budaya. Sementara itu, pentadabbur terkemuka seperti Imam Muda Hassan dan Ustazah Isfadiah memberikan perspektif praktis, menghubungkan pemahaman kitab suci dengan kehidupan seharian.

Program ini membuka ruang untuk  penonton merenung dan menyelami mukjizat al- Quran. Dengan memuliakan kekayaan ajaranNYA, Quran@114 menjadi panggung bagi penonton untuk memahami dan merasakan kedalaman rohani yang terkandung dalam setiap bait ayat suci Ilahi.

TV AlHijrah berkeyakinan rancangan ini mampu menjadi program yang membawa pengalaman unik dan bermakna buat segenap lapisan masyarakat. Program ini mempelopori cara penyampaian yang inovatif dan interaktif untuk membantu penonton meresapi dan menghayati ajaran Islam secara keseluruhan.