SHAH ALAM – Penyanyi rock alternatif, Radhi OAG bakal tampil di acara Tempatan Fest 2023 yang berlangsung di Dataran MPKJ Stadium Kajang pada 3 dan 4 Jun ini. Seramai 150 usahawan kreatif mengambil bahagian untuk mengetengahkan produk seni dan budaya dalam program tersebut.
Menurut Radhi, beliau berharap agar semua pengunjung yang hadir di Tempatan Fest dapat manfaat dari seni yang akan dipersembahkan. Beliau juga akan membuat pengumuman dan memperkenalkan barisan anggota OAG yang masih lagi dalam perancangan.

“Terima kasih kepada Adam Adli (Timbalan Menteri Belia Dan Sukan) yang menyokong acara ini, Insyaallah ini bukanlah acara yang pertama tetapi ianya akan diteruskan dari masa ke semasa. Begitu juga acara sedemikian ini, kita dapat menyantuni bakat anak-anak muda dan kita manfaatkan seni yang ada. Saya juga akan memperkenalkan OAG yang baharu di acara tersebut nanti,” katanya.
Selain Radhi, beberapa artis dan band tempatan turut mengambil bahagian antaranya Pretty Ugly, Andi Flop Poppy, Spiral Kinetic Circus, Jemput Dengar, The Splatters serta ramai lagi.
Tempatan Fest adalah sebuah acara kerjasama bersama beberapa komuniti usahawan dan kreatif untuk berkongsi karya mereka kepada umum sebagai mempromosikan seni dan budaya sebagai tema. Ia akan bekerjasama dengan jabatan kerajaan untuk meningkatkan ekonomi usahawan belia tempatan yang berkebolehan tinggi untuk menjadi satu jenama yang besar. Ulang tahun ke-10 Tempatan Fest ini merupakan acara penting untuk mengetengahkan bakat-bakat kreatif anak tempatan.

Acara dimulakan dengan sesi penjualan barangan daripada pemain industri tempatan. Ratusan usahawan daripada pelbagai komuniti mempertunjukkan dan berkongsi karya mereka kepada pengunjung melalui gerai jualan mereka.
Selain itu, Tempatan Fest menyediakan pentas untuk artis tempatan untuk membuat persembahan sepanjang 2 hari acara ini berlangsung. Ia terbahagi kepada 2 pentas, Tempatan Stage dan pentas rakyat. Sepanjang 2 hari, acara akan dipenuhi dengan persembahan muzik dari artis-artis tempatan yang akan memukau pengunjung dengan persembahan mereka.

Pengarah projek Tempatan Fest, Seir Rashid berkata acara yang menghimpunkan produk rekaan, muzik dan fesyen belia tempatan itu mengenakan bayaran RM10 dan tiket boleh dibeli menerusi tftix.com dan tempatanfest.com.my.
“Tempatan Fest 2023 terbahagi kepada dua pentas iaitu Tempatan Stage yang menjadi platform artis tempatan membuat persembahan sepanjang dua hari acara berlangsung. Antara artis yang akan membuat persembahan adalah OAG, Pretty Uglydan ramai lagi.
“Kita turut sediakan Pentas Rakyat untuk didik dan dedahkan generasi muda kepada budaya dan muzik tradisional negara dengan adakan sesi soal jawab bersama seniman seperti Sabri Yunus dan Pyan Habib,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di Lobanghub, Seksyen 12, semalam.

Selain persembahan nyanyian, pengunjung juga akan disajikan dengan demonstrasi ‘parkour’ oleh komuniti Lompamafia, pameran motor dari komuniti Jantra, persembahan longboard dari komuniti‘Landthattrick’ dan ‘boardwalkers.my’.
Puluhan usahawan dari industri kopi dan makanan turut serta di dalama cara ini untuk menjamu pengunjung selain aktiviti jualan dan persembahan artis, pengunjung turut disajikan dengan pertunjukan fesyen dan pameran motosikal berkuasa tinggi. Paling menarik adalah hadiah cabutan bertuah sebuah motosikal berkuasa tinggi berharga RM15 ribu akan diberikan kepada pengunjung bertuah yang telah membeli tiket Tempatan Fest.

Ulang tahun Tempatan Fest yang ke-10 ini merupakan acara yang luar biasa dan berhasil menciptakan ikatan antara komuniti tempatan dan memperkasakan identiti budaya mereka. Acara ini tidak hanya menjadi kenangan bersejarah bagi Tempatan Fest, tetapi juga mempromosikan seni dan budaya yang dimiliki di negara ini.