April 22, 2024

KUALA LUMPUR – Semua orang mendambakan rasa bahagia terutama ketika bersama kekasih yang dicintai. Perasaan itulah yang cuba diinterpretasikan oleh penyanyi muda, RADi menerusi single terbaharunya yang berjudul Heaven.

Menurut adik kepada penyanyi Aisha Retno itu, Heaven diinspirasikan daripada pengalaman dirinya sendiri yang dipercikkan sedikit imaginasi agar sesuai dengan selera pendengar masa kini.

“Kisah lagu ini adalah tentang rasa bahagia ketika bersama kekasih, umpama sedang berada dalam syurga. Itulah sebab saya menamakannya sebagai Heaven

“Walaupun kita semua tak tahu bagaimana rasa sebenar berada dalam syurga, namun bagi saya apa yang boleh digambarkan adalah ketika kita bersama kekasih.

“Penceritaan lagu ini dihasilkan berdasarkan pengalaman saya sendiri dan dicampurkan dengan imaginasi. Sudah menjadi lumrah dalam bidang muzik, kita perlu jadi kreatif. Saya cuba masukkan sedikit elemen fantasi untuk memperindahkan lagi lagu ini,” katanya.

RADi lacar single terbaharunya yang berjudul Heaven

Bercakap tentang keistimewaan lagu Bahasa Inggeris keduanya itu, RADi menyifatkan ia sebagai sambungan terhadap lagu ‘Maybe’ yang mula diperdengarkan kepada orang ramai pada 3 Februari lalu.

Heaven adalah satu kesinambungan terhadap lagu ‘Maybe’ yang saya lancarkan sebelum ini. ‘Maybe’ merupakan lagu Bahasa Inggeris pertama saya, kekuatan lagu ini adalah pada cara nyanyian dan saya betul-betul bekerja keras untuk menghasilkannya. Semoga para pendengar dapat menghayati dengan sebaik mungkin sebagaimana saya sendiri menghayati lagu ini,” katanya.

Dalam pada itu, RADi mendedahkan bahawa demo asal lagu Heaven telahpun siap dua tahun lalu. Bagaimanapun proses untuk memperkemaskan naskah itu secara keseluruhan dibuat pada tahun ini.

“Sebenarnya demo lagu ini sudah siap dua tahun lepas, pihak syarikat rakaman saya juga berkenan dan setuju untuk saya lancarkan lagu ini. 

“Saya rakam semula vokal dan ‘reproduce’ bersama rakan produser saya, Zain sekitar sebulan lalu. Saya sudah pernah bekerjasama dengannya sebelum ini, dia lah yang banyak teman dan bantu saya menyiapkan lagu Heaven kali ini. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya lagi.

RADi mendedahkan bahawa demo asal lagu Heaven telahpun siap dua tahun lalu

Berkongsi harapan tentang penerimaan peminat terhadap buah tangan terbarunya itu, RADi yang bernaung di bawah Sony Music Entertainment Malaysia berharap agar ia dapat menjadi indikasi kepada peningkatan prestasinya sebagai penyanyi baru.

“Sebagai penyanyi, penulis lagu, produser atau penggiat seni secara amnya, sudah tentu saya sentiasa mahu peningkatan dalam setiap karya yang dihasilkan. Saya harap lagu ini mendapat sambutan yang lebih memberangsangkan berbanding lagu-lagu saya sebelum ini.

“Saya sudah usaha sebaik mungkin, selebihnya saya bertawakkal. Insya-Allah kalau ada rezeki tak kemana. Sayajuga akan cuba sedaya upaya untuk promosikan lagu ini, harapnya kawan-kawan dan pendengar boleh berkongsi lagu ini kepada lebih ramai orang lagi di luar sana.

“Semoga anda dapat layan lagu ini dan mengaitkannya dengan kisah hidup anda. Kalau suka atau cintakan seseorang, anda boleh gunakan lagu ini untuk ekspresikan perasaan anda. Banyak cara boleh dilakukan, kalau tak terungkap dengan kata-kata, lagu nyanyian saya ini pun boleh ‘diwakilkan’ untuk menggambarkan perasaan andaterhadap sang kekasih,” katanya penuh mesra.

Lagu Heaven boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

RADi – Heaven