
Kumpulan muzik berasal dari Banjarmasin, Indonesia, Radja menzahirkan rasa antusias apabila dapat beraksi di hadapan 5,000 penonton dalam sebuah konsert Live In Concert Radja, Jujur Takkan Melupakanmu bersama penampilan khas Rotu Rock, Ella. Konsert berlangsung di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, kuala Lumpur, malam tadi.
Dibawa khas oleh Orange International Entertainment, kumpulan yang dianggotai oleh Ian Kasela (vokalis), Moldy Kusnadi (gitar) dan Seno Aji (dram) menyajikan rangkaian lagu hit bermula dari album pertama sehingga yang terakhir. Kumpulan yang ditubuhkan tahun 2001 ini mendapat perhatian peminat Malaysia apabila album keduanya berjudul Manusia Biasa meledak menerusi lagu Jujur.

“Sejarah telah tercipta apabila dua legenda rock dari dua buah negara, Radja dan juga Ella disatukan dalam pentas yang sama, kami di Orange International menjanjikan sajian persembahan menarik untuk semua peminat muzik terutamanya penggemar muzik rock” kata Dato’ Mohd Fadzli Idrus, selaku CEO & Pengasas Orange Entertainment International.
Konsert dimulai dengan opening act oleh finalis Top 12 Dewi Remaja Edisi 2019, Shatirah Amanda menyampaikan dua buah lagu cover. Seusai persembahan Shatirah Amanda, giliran Radja pula mengisi kekosongan pentas dengan sorakan gemuruh dari penonton yang seakan tidak sabar untuk menyaksikan Radja mendendangkan 16 buah lagu hits mereka secara langsung seperti Cinderella, Manusia Biasa, Tulus, Takkan Melupakanmu, Angin, Jujur, Benci Bilang Cinta dan banyak lagi.


Penampilan dua orang putera Ian yang juga merupakan penyanyi serta putera kepada Seno seorang pemain dram, diberi peluang untuk menonjolkan bakatnya di hadapan ribuan penonton agar dapat melebarkan bakatnya serta terus dikenali.
Kemunculan Ella di pentas Radja membuat peminat bagaikan ‘histeria’ bilamana Ella kali pertama melangkahkan kakinya ke Mega Star Arena apatah lagi untuk mengadakan persembahan. Ella bergabung suara bersama Ian menerusi lagu Jujur serta Ella sempat memberikan buah tangan kepada peminatnya menerusi lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah. Seterusnya Ella mengakhiri acara konsert menerusi lagu Takkan Melupakanmu.



“Terima kasih kepada semua penonton yang hadir dan ‘sing-along’ kepada lagu-lagu Radja, serta buat ‘Queen of Rock Malaysia’ Ella kerana sudi bersama-sami kami dalam satu pentas, dan setinggi-tinggi penghargaan buat Dato’ Fazli dari Orange Entertainment International kerana merealisasikan impian kami.
“Ini adalah ‘new chapter’ buat Radja kembali ke Malaysian dengan respon yang sungguh luar biasa dari peminat semua, terasa momen ‘intimate’ itu sepanjang konsert berlangsung,” kongsi Ian.



Tambah Dato’ Fadzli lagi, “Selain berhibur, konsert malam ini turut menerapkan peringatan terhadap solidariti kita buat kemelut peperangan yang melanda saudara seislam kita di Palestine, dan tetaplah melaungkan ‘free Palestine!’ sebagai tanda sokongan.
Sebelum itu, Radja tidak pernah melupakan kesengsaraan yang dihadapi oleh rakyat Palestine dan berharap agar konflik yang sedang berlaku dapat diselesaikan segera dan berakhir dengan baik.



“Kalau hidup ini ada rasa cinta, ia akan menjadi suatu yang paling indah. Kita doakan bersama-bersama mudah-mudahan masaalah, insiden yang terjadi di sana cepat selesai, Amin.” Ujar Ian Kasela.
Terdahulu, pihak penganjur telah mengadakan konsert oleh kumpulan Ungu pada penghujung tahun lepas dengan jayanya dan menerima sambutan yang memberangsangkan.
Jangan lupa nantikan lebih banyak lagi aksi-aksi menarik dari pihak penganjur acara iaitu Orange International Entertainment pada masa akan datang!



