April 22, 2024

KUALA LUMPUR – Bersesuaian dengan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023, pihak Universal Music Malaysia baru sahaja melancarkan sebuah lagu berjudul ‘Rahsia Petua’ yang mencerminkan keindahan budaya dan perpaduan bangsa Malaysia.

Lebih menarik lagi, lagu ini turut menampilkan penyanyi daripada pelbagai bangsa termasuklah Melayu, Cina, India, dan tidak terkecuali juga daripada etnik Sabah. Lagu ini dinyanyikan oleh bintang yang hangat di persada muzik Malaysia seperti Kmy Kmo, Luca Sickta, Nicole Lai, Psychomantra, dan Benzooloo.

Muzik Rahsia Petua direka khas bagi mengetengahkan ekspresi melodi dan budaya, di samping menceritakan perpaduan bangsa di Malaysia. Menurut Luca Sickta selaku pengarah muzik lagu ini, kesempurnaan hasil karya ini dibawakan oleh keunikan bakat daripada artis berbilang bangsa.

Rakaman Rahsia Petua dijalankan di beberapa lokasi  terpilih  seperti  di Studio Kota Kinabalu bagi Benzooloo, Studio Mass Music di Petaling Jaya untuk Nicole Lai dan Psychomantra, serta Studio LS and Beats di Shah Alam bagi Kmy Kmo & Luca Sickta. 

Bagi Nicole Lai dan Psychomantra, lagu ini merupakan lagu pertama yang dinyanyikan oleh mereka di dalam Bahasa Melayu. Semangat perpaduan yang ditonjolkan ini telah menghasilkan sebuah lagu yang menakjubkan hasilan tonasi melodi serta lirik yang menarik dan  senang diingati oleh para pendengar.  Namun demikian, Psychomantra turut menghadapi cabaran ketika proses rakaman  dijalankan, dimana bait bait bahasa yang ingin disampaikan harus diulangi untuk kesempurnaan produksi lagu ini.

Kmy Kmo, selaku pencipta dan penulis lirik lagu ini berpendapat bahawa melodi nyanyian yang dibawa oleh Nicole Lai digubah dengan mengambil kira pelbagai aspek seperti kesesuaian korus, vokal dan kesinambungan lirik ke penyanyi seterusnya.

Di samping itu, muzik video hasil karyaan Cinemalaya ini, beberapa lokasi telah dipilih untuk penggambaran seperti di Kuala Lumpur dan Selangor iaitu di Bangunan Sultan Abdul Samad, Batu Caves dan Thean Hou Temple. Manakala bagi Benzooloo, penyanyi tunggal dari Sabah pula, rakaman videonya dijalankan di Kundasang dan Kota Belud, Sabah. Lokasi tersebut mencerminkan keindahan suasana Gunung Kinabalu yang merupakan salah satu tarikan utama pelancongan di Malaysia dan sekaligus menjadikan cinematografi visual dan tona warna lebih menarik serta menonjol.

Akhir sekali, Nicole Lai, satu-satunya penyanyi wanita serta berbangsa Cina di dalam lagu ini, berharap agar kata kata di dalam lagu ini dapat disampaikan dan dihayati oleh para pendengar Rahsia Petua.

Lagu Rahsia Petua ini turut dijayakan dengan sokongan rangkaian cafe tempatan Secret Recipe.

Rahsia Petua boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer dan YouTube Music, sementara video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia. 

Kmy Kmo, Luca Sickta, Nicole Lai, Psychomantra, Benzooloo – Rahsia Petua (Official Music Video)