March 21, 2025

Oleh: Zizi Hashim

Berjaya meraih dana lebih RM100,000, menjadi bukti kecemerlangan Konsert ‘Malam Amal The Legends’ anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) masih mengekalkan momentum dengan menampilkan 4 legenda tanahair pada malam 2 Jun 2024 yang lalu. Sekalung tahniah diucapkan buat Karyawan serta barisan artis yang telah memberikan persembahan energetik yang tetap segar dan membuat penonton kekal teruja.

Katanya lebih 100 meja berjaya terjual dan ramai datang ke Dewan Perdana Felda demi nama-nama besar seperti Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Ramli Sarip, Datuk Awie dan Rahimah Rahim yang diterbangkan khas dari Singapura. Ya, ini kisah benar. Gamat satu dewan dibuatnya. Sesuai judul konsert bergelar Malam Amal The Legends ini, energi yang diberikan 4 lagenda ini berada di tahap paling ektrim dan sangat luar biasa. 

Di awali dengan rangkaian artis-artis Malaysia yang menjadi undangan khas bagi pembuka tirai seperti Hairee Kool, Noorshila Amin dan Ezlyn sekitar jam 8:30 malam. Mereka masing-masing mendapat sambutan gemuruh ketika muncul membawakan rendisi lagu-lagu hits. Antaranya ialah “Right Here Waiting”, “Rambu Ramba” dan “Hi Hi Bye Bye” yang turut dinyanyikan bersama seluruh dewan. Turut menyaksikan duet bertenaga Noorshila Amin dan Ezlyn menerusi lagu “Tell Him”.

Gerbang malam di buka dengan sistem tata-cahaya yang indah, diiring barisan pemuzik professional. Hits “Ku Gembira Di Sampingmu” nyanyian Datuk Khadijah Ibrahim memecah malam disahut nuansa nostalgia dari segenap ruang. Vokal merdunya bagaikan menghipnotis setiap hadirin yang terpukau ketika melantunkan “Getaran Jiwa” duet bersama cucu P. Ramlee, Najwa. Ramai turut bernyanyi seiringan apabila “Ku Pendam Sebuah Duka”berkumandang. Sempat juga beliau menyanyikan lagu “Happy Birthday” buat anak lelakinya yang menyambut harijadi ke-41 malam itu.

Giliran Kak Girl panggilan mesra Rahimah Rahim naik ke pentas. Meski mengalami kehilangan suara baru-baru ini, vokal husky serak-serak basah Kak Girl tetap menghiburkan dan berjaya mengajak audiens sing-along pada irama “Gadis Dan Bunga” yang begitu catchy. Turut hadir dan berhibur bersama pada malam itu ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd Ali Rustam dan isteri, Toh Puan Asmah Abdul Rahman sebagai tetamu kehormat. Kutipan melebihi sasaran apabila terdapat 2 buah lagu hasil bidaan telah disampaikan pada malam itu.

Aura seorang lagenda sejati dapat dirasai apabila Datuk Ramli Sarip muncul dalam samar-samar cahaya pentas. Suasana malam kian larut dalam imbauan memori apabila lagu “Bukan Kerana Nama”“Perjalanan Hidup” dan “Teratai” bergema indah di sambut paduan suara sing-along dari semua. Datuk Khadijah Ibrahim tampil dalam persalinan kedua yang lebih menawan, terus lanjut lagi dengan lagu hits “Doa Buat Kekasih“ bersama pasangan duet berdekad-dekad lamanya, Datuk Ramli Sarip.

Yang paling ditunggu-tunggu akhirnya berdiri di hadapan mata. Siapa lagi kalau bukan Datuk Awie. Bayangkan lagu demi lagu bernada tinggi, dengan selamba dialunkan Datuk Awie sebagai encore konsert, tanpa menunjukkan sedikit pun rasa lelah atau penat. Tidak ada satu pun nada yang pecah, semuanya dilontarkan dengan begitu hebat. Datuk Awie mengisi setiap minit yang berlalu sarat dengan lagu-lagu yang telah disusun seperti “Layang-Layang Putus Talinya”“Sejati” dan “Di Penjara Janji”.  Bahkan Datuk Awie tidak kedekut belanja sebuah lagu bonus “Terima Kasih”  bagi menutup tirai konsert. 

Saya sedari awal sememangnya sangat kagum dan terkesima dengan energi luar biasa 4 lagenda tanahair ini, khususnya nada vokal tinggi Datuk Awie yang begitu sedap didengar tidak sedikit pun out-of-pitch ataupun ke laut dalam. Itulah lambang seorang superstar sejati yang begitu komited dengan professi-nya dalam memberikan yang terbaik. Tidak rugi beli ‘meja’ mahal untuk satu persembahan se-mega ini yang ternyata amat berbaloi.

Kesemua artis muncul berkumpul ke atas pentas untuk sama-sama berpadu suara dalam lagu terakhir malam itu “That’s What Friends Are For” yang mengajak semua bernyanyi bersama. Jelas kelihatan riak puas dan gembira pada semua yang datang. Terima Kasih Karyawan untuk satu malam yang akan dikenang sampai bila-bila. Tahniah sekali lagi utk misi sukses mengumpul dana secara konsisten dalam usaha murni membantu artis yang  kurang bernasib baik, bergelut dengan usia tua, kecacatan dan kesulitan lain.