KUALA LUMPUR – Megastar Arena menjadi saksi kepada persembahan memukau penyanyi Indonesia, Raisa, dalam konsert “Teristimewa Di Kuala Lumpur” yang berlangsung pada 3 November lalu. Konsert anjuran Kharisma Music ini berjaya mengumpulkan ribuan peminat yang hadir menyaksikan persembahan penyanyi jelita ini.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kharisma Music, En. Ahmad Jeffny menyatakan kepuasan beliau terhadap kejayaan konsert tersebut. “Kami amat berbesar hati dapat membawa Raisa kembali ke Kuala Lumpur pada malam ini. Konsert ini bertujuan memberikan pengalaman yang unik dan berharga buat peminat Raisa,” ujar beliau.
Sepanjang dua jam lebih persembahan, Raisa membawakan hampir 20 buah lagu hits termasuk “Serba Salah”, “Pergilah”, “Teristimewa”, “Jatuh Hati”, “Bahasa Kalbu”, “Could It Be”, “Mantan Terindah”, dan “Kali Kedua”. Persembahan beliau turut disokong oleh barisan pemuzik profesional yang dibawa khas dari Indonesia.
Konsert ini turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa dua artis popular Malaysia, Ernie Zakri dan Hael Husaini. Ernie membawakan duet “Anganku Anganmu” manakala Hael berkolaborasi dalam lagu “Percayalah” bersama Raisa.
“Sesungguhnya kalian adalah ‘teristimewa’ dalam hidup saya dan terima kasih kerana hadir menyokong saya pada malam ini. Konsert ini adalah satu pengalaman yang sangat berharga untuk saya, kerana saya sendiri terlibat secara langsung dalam setiap aspek persiapannya,” kata Raisa dengan penuh emosi.
Konsert yang menampilkan reka bentuk pentas kreatif dan latar belakang audio-visual memukau ini turut menawarkan sesi ‘meet & greet’ eksklusif untuk pemegang tiket VVIP.
En. Ahmad Jeffny turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk rakan penganjur seperti Garuda Indonesia, Alha Alfa, Intan Gelombang, Futurace, ERA FM, Sinar FM, dan Astro Gempak yang menyumbang kepada kejayaan konsert tersebut.
“Dengan kejayaan konsert ini, Kharisma Music terus komited untuk menyajikan pengalaman muzik yang luar biasa kepada penonton di Malaysia,” tambah beliau lagi.