October 16, 2024

KUALA LUMPUR – Kharisma Music, syarikat penganjur konsert terkenal, dengan bangganya mengumumkan bahawa konsert yang paling dinantikan, ‘Raisa – Teristimewa Di Kuala Lumpur’, akan diadakan pada 3 November 2024 bertempat di Megastar Arena, Kuala Lumpur, bermula jam 8:00 malam.

Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengasas Kharisma Music, En. Ahmad Jeffny, menyatakan, “Kami sangat teruja dengan kehadiran Raisa di Kuala Lumpur pada hari ini. Konsert ini bukan sekadar persembahan muzik yang hebat, tetapi juga peluang untuk merasai keindahan muzik Raisa secara langsung.”

Dalam kenyataan Raisa sendiri, beliau turut meluahkan keterujaannya, “Ini konsert yang benar-benar ‘teristimewa’ buat saya dan anda semua. Segala persediaan dilakukan secara langsung oleh saya sendiri bersama pasukan, dan ia pasti berbeza dari konsert-konsert sebelumnya di KL!”

Raisa, penyanyi popular yang dikenali dengan single pertamanya ‘Serba Salah’ dari album sulungnya pada 2011, telah merangkul pelbagai anugerah berprestij, termasuk ‘Artis Baru Terbaik’ di Anugerah Musik Indonesia ke-15. Dengan vokalnya yang memukau, beliau terus memikat hati jutaan peminat di seluruh rantau Asia.

Konsert ini adalah sebahagian daripada siri jelajah muzik Raisa yang sangat dinanti-nantikan. Penonton bakal dihiburkan dengan lagu-lagu hit Raisa seperti ‘Kali Kedua’, ‘Jatuh Hati’, dan ‘Mantan Terindah’, serta lebih daripada 20 buah lagu yang bakal dipersembahkan secara langsung. Konsert ini juga akan menampilkan pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Indonesia, menjanjikan pengalaman muzik yang tidak dapat dilupakan.

Dijadualkan berlangsung lebih dari dua jam, konsert ini turut dilengkapi dengan reka bentuk pentas yang memukau serta kesan audio visual yang ‘teristimewa’. Peminat yang membeli tiket VVIP dan VIP juga berpeluang menghadiri sesi eksklusif ‘meet & greet’ bersama Raisa.

“Ini adalah peluang luar biasa bagi semua peminat Raisa untuk menyaksikan persembahan ‘teristimewa’ yang pasti akan mencipta memori indah yang tidak terlupakan. Dapatkan tiket segera sebelum kehabisan, dan nantikan hiburan seterusnya dari Kharisma Music,” tambah En. Ahmad Jeffny lagi.

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Garuda Indonesia sebagai penaja penerbangan rasmi, serta rakan penaja lain seperti Alha Alfa, Intan Gelombang, Futurace, dan rakan media seperti ERA dan Gempak.com.

Untuk makluman, tiket konsert ‘Raisa – Teristimewa Di Kuala Lumpur’ sudah pun mula dijual sejak 9 September 2024 di laman web ticket2u.com.my/raisa, dan hanya tinggal beberapa tiket sahaja yang masih berbaki.